KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Penasihat Kementerian Kewangan akan memberi fokus berhubung mengenai cara dan sumber yang boleh meningkatkan pendapatan negara dan mengurangkan perbelanjaan mengurus.
Dalam kenyataan akhbar, Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Hassan Marican berkata, antara tugas lain jawatankuasa itu termasuk perihal subsidi kerajaan, menasihat berkenaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan menguruskan hutang negara.
“Peranan utama Jawatankuasa Penasihat adalah antara lain untuk menasihati Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai cara meningkatkan asas hasil negara dan mengurangkan kos pengurusan.
“Jawatankuasa Penasihat juga akan menasihati Menteri Kewangan dalam perkara berkaitan subsidi, termasuk menyemak dan menyusun semula subsidi sedia ada serta penyediaan perlindungan sosial yang lebih holistik.
“Perkara berkaitan GLC juga termasuk seperti menentukan rangkaiannya dengan kerajaan selain menyatukan mengikut kesesuaian. Selain itu, akan dinasihatkan perkara berkaitan hutang negara dan tadbir urus yang baik.
Dalam kenyataan sama, Mohd. Hassan memaklumkan Jawatankuasa Penasihat kepada Menteri Kewangan itu sudah mengadakan mesyuarat sulung pada Jumaat lalu.
Mesyuarat itu dipengerusikan beliau yang juga Penasihat Petronas dan dihadiri ahlinya yang lain iaitu Pengerusi Sarawak Energy Bhd., Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi; Pengerusi Eksekutif FPSO Ventures Sdn. Bhd., Datuk Ahmad Fuad Md Ali; Profesor Ulung Ekonomi di Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya, Datuk Dr. Rajah Rasiah dan Profesor Ekonomi di Fakulti Perniagaan Universiti Sunway, Dr. Yeah Kim Leng.
Jawatankuasa Penasihat itu melapor terus kepada Menteri Kewangan dan akan bermesyuarat sekerap mungkin bergantung kepada keperluan.