Jangan terlalu lama beku akaun bank Bersatu, PRN makin dekat - Utusan Malaysia

Jangan terlalu lama beku akaun bank Bersatu, PRN makin dekat

MOHD. Shukri Ramli (duduk, tujuh dari kanan) merakamkan gambar bersama semua ahli majlis MPK selepas majlis angkat sumpah jawatan yang berlangsung di Ibu Pejabat MPK, Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diharap dapat menyegerakan siasatan berhubung pembekuan akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka berlangsung beberapa bulan lagi.

Pembekuan akaun tersebut tidak sewajarnya terlalu lama memandangkan parti Bersatu perlu menggunakan dana dari akaun berkenaan sebagai persediaan menghadapi PRN di enam negeri selepas ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri, Mohd. Shukri Ramli berkata, Bersatu perlu diberi keadilan agar parti berkenaan dapat menggerakkan jentera dan bersiap-sedia untuk berdepan lawan mereka.

“Pembekuan akaun Bersatu ini pada saya jangan terlalu lama kerana mereka adalah rakan kami di dalam PN dan merupakan parti baharu. Saya tak jangka mereka mempunyai banyak duit sampai perlu dibekukan akaun berkenaan tambahan pula PRN di enam negeri semakin tiba,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Perbandaran Kangar (MPK), di sini hari ini.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, akaun bank Bersatu bernilai lebih RM40 juta dibekukan SPRM bagi membantu siasatan ber­hubung penyelewengan dana di bawah Pakej Rangsangan Ekono­mi bernilai RM92.5 bilion.

Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, pembekuan itu dilakukan kira­-kira dua minggu lalu selepas Bersatu dipercayai menerima lebih RM300 juta wang daripada dana pakej rangsangan ekonomi Covid­-19.

Bagaimanapun, hanya RM40 juta masih berada di dua akaun bank Bersatu dan SPRM masih menyiasat baki RM260 juta.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, imej Pas tidak terjejas walaupun Bersatu yang merupakan parti komponen dalam PN terpalit dengan pembekuan akaun bank itu.

“Bersatu juga belum dijatuhkan hukuman dan hanya di peringkat pembekuan akaun bank sahaja bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh SPRM,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pengenalan kabinet bayangan PN, Mohd Shukri berkata, perkara itu amat diperlukan memandangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak begitu mantap ketika ini.

Tambahnya, pengenalan itu juga sebagai persediaan berhubung kemungkinan pertukaran kerajaan bakal berlaku dalam masa terdekat.

“PN dalam keadaan bersedia jika berlaku perubahan kerajaan dan ini adalah satu langkah bijak oleh pimpinan parti,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya