PUTRAJAYA: Setiap penjawat awam khususnya warga Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) hendaklah memainkan peranan dalam mencegah gejala rasuah dengan menghayati dan menterjemahkan nilai integriti dalam melaksanakan tugasan harian.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Dr Akma Ngah Hamid berkata, penjawat awam tidak boleh memandang ringan, bersifat leka, memilih melakukan penafian atau tidak berbuat apa-apa dalam menidakkan kewujudan kelakuan rasuah di hadapan mata atau melakukan penafian.
“Kita mempunyai amanah dalam memastikan agenda keterjaminan makanan negara sentiasa selamat, cukup dan terjamin. Ini merupakan tanggungjawab yang cukup besar.
“Justeru, saya menyeru kepada semua warga jabatan ini walau apa pun tekanan dan desakan kehidupan yang sedang dihadapi atau peluang dan ruang yang mendedahkan kita kepada penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan rasuah, kita perlu memastikan diri tidak terjebak dan menjauhi diri dari bahaya rasuah,” katanya ketika berucap pada pelancaran Pelan Anti Rasuah dan Integriti Veterinar (STRIVE) 2022-2026 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tugas dan tindakan sebagai penjawat awam juga tidak boleh dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan dan prinsip ini amat penting untuk dipegang oleh semua.
Ini kerana katanya, dalam situasi apa pun, penjawat awam tidak boleh menggunakan kuasa atau jawatan yang dipegang demi kepentingan diri dan membiarkan diri dipergunakan.
Jelasnya, STRIVE adalah salah satu inisiatif DVS dalam menyokong dasar anti rasuah kerajaan dengan menyasarkan perancangan lima tahun iaitu 2022 hingga 2026.
“Pelan yang menggariskan tindakan menyeluruh dan bersepadu ini mengambil kira pandangan warga DVS secara holistik dan telah mengenal pasti empat strategi merangkumi 114 inisiatif untuk dilaksanakan sebagai panduan pengurusan anti rasuah, integriti dan tadbir urus di jabatan ini,” ujarnya. – UTUSAN