Jangan ‘bunuh’ kontraktor kecil - Utusan Malaysia

Jangan ‘bunuh’ kontraktor kecil

SYARIKAT konsesi yang memonopoli projek-projek kecil seperti projek penyelenggaraan bangunan, jalan dan longkang dapat dimansuhkan secepat mungkin. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelarasan diperlukan dalam industri pembinaan terutamanya untuk kontraktor-kontraktor kecil syarikat bumiputera yang kini terpaksa bersaing dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). 

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ia perlu diseimbangkan dengan nisbah pembahagiaan yang sekata. 

“Syarikat-syarikat yang diperbadankan seharusnya jangan menjadi ‘jaguh kampung’ sahaja tetapi keluar mencari projek-projek pembinaan di luar negara dan membawa bersama kontraktor tempatan sebagai sub kontraktor mereka. 

“Kerajaan juga perlu menggesa institusi perbankan untuk bersama-sama membiayai projek-projek yang diterajui oleh syarikat GLC diluar negara, seperti yang dilakukan oleh kontraktor-kontraktor besar dari negara China, Korea dan Jepun. 

“Mereka membawa bersama rantaian bekalan nilai hatta bekalan bahan mentah, kepakaran sumber manusia dari negara asal untuk menambah baik produktiviti dan daya saing,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Sementara itu, Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia), Tukiman Radion berkata, pihaknya berharap syarikat-syarikat konsesi yang memonopoli projek-projek kecil seperti projek penyelenggaraan bangunan, jalan dan longkang dapat dimansuhkan secepat mungkin. 

Ujarnya, projek-projek tersebut patut diberikan semula kepada jabatan teknikal yang diterima pakai oleh  kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Jika tidak, ia amat merugikan kontraktor kecil kerana ada antaranya yang membuat bayaran lambat sehingga enam bulan sedangkan kontraktor kecil sudah mengeluarkan modal.

“Bagaimana mereka mahu membayar pekerja dan membeli bahan mentah untuk membuat kerja baik pulih apabila dibayar lambat?

“Selain itu, keuntungan kontraktor kecil ini juga terlalu tipis. Sebagai contoh, jika konsesi menerima kerja menurap jalan bernilai RM32 untuk satu meter persegi, konsesi hanya memberi kontraktor kecil RM19 ringgit di mana untung mereka hanya sebanyak RM13. 

“Kontraktor terpaksa mengeluarkan modal untuk pekerja membeli bahan pra-campuran dana bahan berkaitan dengan kerja menurap jalan yang harganya juga sudah semakin meningkat jadi mereka terpaksa membuat kerja yang tidak berkualiti asalkan siap sahaja,” katanya. 

Beliau berkata, apabila kos tinggi, penjimatan terpaksa dilakukan tanpa memikirkan kualiti sekali gus menyebabkan kerajaan rugi kerana turapan berkualiti rendah itu hanya mampu bertahan kurang dari setahun berbanding tiga tahun yang sepatutnya.

Pihaknya berharap, projek-projek itu akan diambil oleh kerajaan semula dan diagihkan kepada kontraktor kecil secara cabutan undi berbanding sebut harga yang akan menimbulkan sikap pilih kasih. 

“Dengan undian tersebut projek-projek baik boleh itu boleh diagihkan kepada semua kontraktor kecil dengan telus. 

“Jumlah kontraktor kecil kini juga semakin ramai sebanyak lebih 50,000 kontraktor, jadi kami berharap kerajaan akan tambah peruntukan untuk projek-projek kecil ini sejajar dengan penambahan kontraktor-kontraktor kecil,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya