Jalan baharu Bukit Pelandok-Sungai Pelek rancakkan pelancongan pantai - Utusan Malaysia

Jalan baharu Bukit Pelandok-Sungai Pelek rancakkan pelancongan pantai

PEMBINAAN jalan dan jambatan menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson, Negeri Sembilan dan Sungai Pelek, Sepang di Selangor dilihat dapat merancakkan lagi sektor pelancongan di Port Dickson.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pembinaan jalan dan jambatan bagi menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson, Negeri Sembilan dan Sungai Pelek, Sepang di Selangor dijangka dapat memberikan impak ekonomi yang baik terutamanya di kawasan sempadan kedua-dua negeri itu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menjelaskan, pelaksanaan projek dengan kos sebanyak RM160 juta seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2023 semalam dilihat dapat membangunkan dua kawasan peranginan iaitu Port Dickson di Negeri Sembilan serta Pantai Bagan Lalang di Sepang.

“Apabila terbinanya jambatan ini nanti, saya yakin kawasan peranginan itu akan bertambah luas, lebih pesat dan akan menghubungkan dua tempat yang menjadi kawasan tumpuan orang ramai. Ia akan beri impak yang lebih positif pada masa akan datang.

“Jika dapat dibantu selepas ini dengan pembinaan Lebuh Raya Pantai Barat (Jajaran Selatan), sekarang ini sampai di Banting, Selangor, jika ia sampai di Melaka pasti akan beri impak yang cukup besar kepada pelancongan pantai, khususnya di Pantai Barat Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Fiqh Al-Mizan dan Pelancaran Inisiatif Negeri Ke Atas Guru-Guru Takmir Negeri Sembilan di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat semalam berkata, kerajaan akan melaksanakan beberapa projek berkaitan isu pelancongan dan kesesakan jalan raya yang telah menjejaskan lokasi tumpuan pelancong.

Ia termasuklah membina jalan dan jambatan Sungai Sepang bagi menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson dan Sungai Pelek, Sepang dengan kos projek RM160 juta.

Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menjelaskan lagi, pembinaan jalan dan jambatan baharu itu akan merangsang ekonomi setempat khususnya di Sungai Pelek yang mempunyai jumlah penduduk yang agak ramai.

“Ia juga akan menyelesaikan isu kesesakan, siapa yang mahu ke Klang boleh terus melalui Sepang menerusi jalan baharu tersebut, ia lebih dekat berbanding jalan sedia ada,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya