PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim tampil menjelaskan gambar yang tular di laman media sosial memaparkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang menjamu selera dengan hidangan besar sehingga menimbulkan fitnah.
Hassan yang turut berada di dalam gambar tersebut menegaskan, ia adalah gambar lama iaitu pada 2019 sebelum Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad tumbang.
Menurut beliau, gambar tersebut yang memaparkan Anwar dan beberapa ahli Parlimen daripada PKR dan pegawai-pegawai khas diambil di rumah seorang Sheikh iaitu kerabat rapat pemerintah Qatar, bukan di Malaysia.
“Anwar dan rombongan sebelum pulang ke Malaysia telah dijemput oleh Sheikh tuan rumah itu untuk singgah ke rumahnya sebelum ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad, Doha untuk pulang ke tanah air. Sebagai tetamu, Anwar serta rombongan pun terperanjat dengan hidangan yang hebat.
“Seperti dalam gambar itu, kami memahami itu mungkin budaya Arab. Kami makan bersila, guna pinggan yang kecil di hadapan dulang besar dengan nasi Arab berlauk kambing, bukannya unta,” katanya melalui hantaran di Facebook.
Selain Anwar dan Hassan, turut serta di dalam rombongan itu adalah bekas Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani; Mohd Amin Ahmad (Kangar), Dr. Azman Ismail (Kuala Kedah) dan bekas Ahli Parlimen Kemaman, Allahyarham Abdul Rahman Yusof.
Sebelum ini media melaporkan, gambar tersebut tular selepas dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook dan mengaitkan ia dengan Menu Rahmah melalui kapsyen ditulis sehingga mengundang pelbagai reaksi pengguna lain.
Hassan berkata, Anwar ke Doha, Qatar kerana menerima pelbagai undangan selain menziarahi tokoh ulama Islam terkenal iaitu Sheikh Dr. Yusof Al-Qardawi.
“Dalam kunjungan itu, pertama untuk memenuhi jemputan Perdana Menteri Qatar. Keduanya, Anwar dijemput ke persidangan antarabangsa memperingati tokoh renaissance Islam terkenal bernama Malek bin Malek di universiti ternama di sana.
“Saya ceritakan ini semua untuk menegakkan fakta dan kebenaran untuk melindungi nama baik Perdana Menteri, Anwar Ibrahim daripada difitnah sesuka hati. Kebenaran pada saya adalah dinding kepada fitnah,” katanya.
Dalam pada sama, beliau turut menyeru menteri daripada kerajaan untuk tidak membuat aduan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi berhadapan dengan pemfitnah yang cuba mencipta persepsi negatif.
“Saya berharap menteri kerajaan janganlah sampai buat aduan polis terhadap sipolan bin sipolan yang membuat hantaran di Facebook berkenaan gambar ini. Jangan gunakan polis untuk tutup mulut si pemfitnah.
“Kita lawan fitnah dengan fakta dan penjelasan yang rasional. Itu lebih bersifat Madani,” katanya. – UTUSAN