SEPANG: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersedia membentangkan isu pelupusan saham IRIS Corporation Berhad kepada Kabinet.
Beliau berkata, bagaimanapun, pada masa ini beliau sedang meneliti segala dokumen berkaitan syarikat berkenaan.
“Insya-Allah jika tiada apa-apa masalah, saya akan bentang dalam mesyuarat mingguan jemaah menteri pada Jumaat ini untuk tindakan kerajaan selanjutnya,” kata beliau kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Isu IRIS mula ‘kecoh’ apabila ia bertindak melupuskan 80 peratus kepentingan dalam subsidiarinya yang terlibat dalam projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) sekali gus mencetuskan kebimbangan kemungkinan segala data sensitif Jabatan Imigresen Malaysia terdedah dieksploitasi pihak anasir luar.
Projek yang bernilai RM1.123 bilion itu turut disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana kontrak tersebut dianugerahkan kepada Datuk Adlan Berhan iaitu menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meraih tawaran secara rundingan terus pada 2021.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, beliau sudah pun mendengar taklimat daripada pegawai kementeriannya pada dua hari lalu berhubung isu pelupusan saham IRIS termasuk sama ada amalan IRIS bercanggah dengan urus tadbir korporat.
Justeru, beliau tidak mahu memberikan sebarang ulasan awal kerana isu pelupusan ekuiti oleh syarikat induk kepada pihak ketiga melibatkan pelbagai sudut dan kepentingan lain.
Ini ujarnya termasuk bagi melihat kemungkinan usaha penjualan saham yang amat besar itu akan memberi kesan kepada NIISe kerana ia menyimpan banyak data peribadi rakyat.
Pada masa sama, Saifuddin Nasution tidak menolak kemungkinan isu tersebut akan dibawa kepada pihak SPRM untuk menilai sama ada berlaku unsur penyelewengan korporat.
Walau bagaimanapun setakat ini jelasnya, beliau belum lagi mahu memikirkan langkah berkenaan dan akan meminta pandangan jemaah Kabinet terlebih dahulu untuk susulan. – UTUSAN