Isteri Sarjan Jana reda, pasrah kehilangan suami - Utusan Malaysia

Isteri Sarjan Jana reda, pasrah kehilangan suami

SANDRA Anak Kuno bersama anaknya menunjukkan gambar mendiang Jana Anak Milie iaitu anggota polis berpangkat Sarjan yang ditemukan maut dengan kesan tembakan di dada, kepala dan leher ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik HPP, George Town, Pulau Pinang hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Isteri kepada anggota polis berpangkat Sarjan yang ditemukan maut dengan kesan tembakan di belakang balai polis Bayan Lepas petang semalam pasrah dan reda dengan kehilangan suaminya.

Bagaimanapun, Sandra Anak Kuno, 50, berkata, dia dan keluarga masih terkejut dengan kejadian yang menimpa suaminya, Jana Anak Milie, 51, itu.

“Dia seorang suami yang baik, suka dengan anak-anak dan peramah dengan semua orang, selalu bergurau senda serta tidak pilih kawan sama ada lelaki atau perempuan.

“Saya reda dengan apa yang berlaku. Kami tinggal di sini sama-sama. Dia tidak tunjuk sebarang apa-apa tanda. Sembang, makan, minum dan tidur macam biasa,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini hari ini.

Menurut Sandra, mayat mendiang suaminya akan disemadikan mengikut adat resam kaum Iban selama tiga hari dan dikebumikan di Kampung Sutong, Sri Aman, Sarawak , Jumaat ini.

Difahamkan mayat mendiang yang merupakan bapa kepada tiga cahaya mata berkenaan akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Sri Aman, Sarawak hari ini.

Terdahulu, jasadnya dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik HPP pukul 4.10 petang tadi menggunakan kenderaan jenazah persendirian.

Dalam kejadian pukul 3.30 petang semalam, mayat anggota polis terbabit ditemui dengan kesan tembakan pada kepala, leher dan dada di belakang bangunan Balai Polis Bayan Lepas dekat sini.

Turut ditemukan bersama mangsa di tempat kejadian adalah sepucuk pistol.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, mangsa merupakan anggota polis yang bertugas di Balai Polis Bayan Lepas.

“Kes masih dalam siasatan dan polis menasihati orang awam tidak menyebarkan sebarang spekulasi,” katanya dalam kenyataan di sini semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya