TASEK GELUGOR: Pembelajaran berasaskan ‘industry-led’ menerusi pelaksanaan program Industry On Campus (IOC) berupaya melahirkan graduan yang lebih holistik sekali gus memenuhi kehendak industri sejajar dengan perkembangan teknologi terkini.
Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar berkata, usaha yang dilaksanakan dengan kerjasama pihak industri dan kerajaan itu dapat melahirkan pelatih politeknik dan kolej komuniti berkemahiran tinggi.
“Kita mahu memperluaskan lagi pembabitan pelbagai pihak daripada pelbagai bidang, malah kami sedang meneliti industri bersesuaian yang boleh bekerjasama menerusi IOC untuk melahirkan bakat-bakat baharu.
“IOC menjadi platform untuk pelatih menggunakan pendekatan belajar daripada industri sebenar.
“Ia beroperasi sama ada di dalam institusi ataupun premis sewaan lain dan inisiatif berterusan ini membawa persekitaran sebenar industri ke dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan pelancaran IOC dan Garis Panduan Kriteria Penarafan Berteraskan IOC, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Edisi 2023 di Politeknik Metro, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, lima lagi IOC akan dilancarkan tahun ini di Politeknik dan Kolej Komuniti terpilih antaranya Politeknik Seberang Perai, Politeknik Ibrahim Sultan, Johor Bahru dan Politeknik Shah Alam.
“Kita akan terus bekerjasama dengan industri yang sentiasa memberi sokongan melalui perkongsian teknologi dan kepakaran bagi meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran graduan,” katanya.
Setakat ini, terdapat lima IOC di Kolej Komuniti Baling; Politeknik Metro Tasek Gelugor; Politeknik Metro Johor Bahru; Kolej Komuniti Selayang dan Kolej Komuniti Sungai Petani. – UTUSAN