PETALING JAYA: Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo yang dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM) yang baharu diharap mempunyai iltizam yang tinggi untuk memantau tadbir urus dan tata kelola di dalam usaha membanteras gejala rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sebarang bentuk penyelewengan.
Presiden Kesatuan Kakitangan Am Universiti Putra Malaysia (Kepertama), Norsyahriman Md. Arif berkata, keputusan pelantikan Ibrahim sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti merupakan satu keputusan tepat sekaligus akan melonjakkan nama UPM di seantero dunia.
Kata beliau, pihaknya menaruh harapan yang tinggi kepada beliau agar sedaya upaya membantu UPM untuk menjadi sebuah universiti terunggul dalam negara dan bereputasi antarabangsa.
“Kami berharap beliau dapat melontarkan idea dan menzahirkan komitmen ke arah memastikan UPM menjuarai pelbagai bidang utama dalam negara khususnya dalam bidang pertanian.
“Selain itu, melihat dan memperhalusi semula peranan serta sumbangan UPM Holdings yang seharusnya menjadi penyumbang utama dalam pengukuhan kewangan universiti serta berusaha menambah baik ekosistem pekerjaan agar lebih sejahtera, harmoni dan kondusif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan pelantikan Ibrahim sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UPM yang baharu berkuat kuasa mulai 7 Februari.
Dalam pada itu, Norsyahriman memberitahu, pihaknya sentiasa terbuka dan bersedia untuk dipanggil berbincang mengenai apa sahaja yang berkaitan dengan hal ehwal universiti.
“Kepertama berpandangan ruang perbincangan dan proses perundingan bersama kesatuan adalah amat penting terutamanya dalam mendepani pelbagai cabaran getir yang mendatang. Sesungguhnya UPM ini adalah amanah bangsa dan tanggungjawab kita bersama,” ujarnya.
Jelasnya lagi, Kepertama amat yakin dan percaya Ibrahim serta beliau berupaya mampu memikul amanah dan tanggungjawab dengan cemerlang, sekaligus melonjakkan nama UPM.
“Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih juga Kepertama ucapkan buat Tengku Syarif Laksamana Perlis, Datuk Seri Syed Razlan Tuanku Syed Putra Jamalullail atas segala jasa baik dan sumbang baktinya kepada warga UPM sepanjang menggalas tugas sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UPM mulai 6 Julai 2020,” katanya.-UTUSAN