Hentikan amalan nepotisme - Muda 

Hentikan amalan nepotisme – Muda 

AMIR HADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) meminta lantikan Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi kepada Perdana Menteri dan lantikan Muhammad Iqbal sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dihentikan. 

Setiausaha Agungnya, Amir Hadi berkata, kerajaan hari ini dibentuk dengan semangat reformasi yang membara bukan sahaja bagi membasmi kemiskinan, menjana ekonomi yang mapan malah juga mengangkat tatakelola yang baik dalam pengurusan kerajaan.

Sehubungan itu, katanya, Muda ingin menggesa kerajaan terus berpegang dengan semangat yang dibina ini dan menolak sebarang bentuk amalan lapuk oleh kerajaan terdahulu termasuk amalan melantik ahli keluarga dalam kedudukan strategik.

“Pelantikan Nurul Izzah Anwar dan pelantikan Muhammad Iqbal di antara perkara yang tidak sepatutnya berlaku yang sedang diperkatakan umum. 

“Sungguhpun Nurul Izzah sebagai contoh, memiliki kelayakan bagi menjawat jawatan tersebut, dan sungguhpun ia merupakan jawatan pro bono, namun ia menghantar mesej yang salah kepada rakyat. Hal sebegini sekiranya tidak dielakkan dari sekarang, akan membarah dan mengakar.

“Muda sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan hari ini sekali lagi berharap agar lantikan-lantikan ke atas ahli keluarga yang telah dibuat atau yang akan dibuat pada masa akan datang, dihentikan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi. 

Pelantikan Nurul Izzah dan Muhammad Iqbal sebelum ini mengundang perdebatan dalam media sosial apabila tindakan itu dikaitkan dengan amalan nepotisme. 

Bagaimanapun, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pelantikan anaknya itu yang memiliki ijazah dalam bidang kejuruteraan dan ijazah kedua dalam dasar awam merangkumi ekonomi, politik dan sosial, serta tidak dibayar elaun. 

Datuk Johari Abdul pula memaklumkan, hingga kini belum ada sebarang pelantikan rasmi dibuat terhadap anaknya, Mohammed Iqbal sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat kerana ia masih dalam proses permohonan.

Johari yang juga bekas Ahli Parlimen Sungai Petani itu berkata, hingga kini Mohammed Iqbal yang sudah menjadi pegawainya sejak 14 tahun lalu hanya meneruskan kerja membantu beliau dengan elaun dibayar oleh dirinya sendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya