Hasil kelapa terjejas akibat banjir termenung - Utusan Malaysia

Hasil kelapa terjejas akibat banjir termenung

ABDUL Rahman Rahmat (kiri) dan Osman Hamzah menunjukkan pokok kelapa yang terjejas penghasilannya akibat banjir termenung di Kampung Sungai Nipah di Bagan Datuk. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN BATUK: Pengeluaran kelapa di Bagan Datuk di sini terjejas kesan dari masalah banjir termenung yang melanda daerah ini beberapa bulan lalu.

Pekebun mendakwa, tempoh masa yang agak lama sebelum air surut memberi kesan teruk kepada pengeluaran buah kelapa.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Abdul Rahman Rahmat berkata, dia dan beberapa pekebun terkesan apabila kelapa benih baharu yang ditanam terjejas penghasilannya.

“Saya menanam benih kelapa jenis CN16 seluas lebih tiga ekar dan sebelum tanah kebun saya terendam lama akibat banjir termenung, penghasilannya cukup memuaskan dan buah­nya berkualiti.

“Namun selepas banjir termenung surut, saya lihat pengeluarannya agak terjejas, banyak buah yang rosak dan pembesaran pokoknya seperti terbantut.

“Ini mungkin disebabkan terlalu lama kawasan tanah di sini terendam dalam banjir terme­nung,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Nipah di sini semalam.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Koperasi Bersepadu Rungkup Berhad (KBRB), Osman Hamzah berkata, banyak kebun kelapa di daerah ini dilanda banjir termenung yang berlaku pada Oktober hingga Disember lalu.

Katanya, ini menyebabkan banyak pokok yang rosak kesan daripada lama terendam dalam air banjir.

Menurutnya, Abdul Rahman merupakan antara pekebun pertama yang menanam kelapa benih baharu itu di daerah ini selain terdapat juga di Tanjung Karang, Selangor iaitu tempat asal benih tersebut.

“Kelapa benih baharu ini memang mendapat sambutan yang tinggi kerana buahnya berkualiti.

“Namun semasa banjir termenung baru-baru ini, banyak pokok kelapa yang terendam di dalam banjir, menyebabkan pembesaran buahnya terencat, daun pokok jadi tidak begitu cantik dan buahnya tidak sesuai dibuat benih.

“Mana-mana koperasi yang terkesan seperti tanaman serta perniagaan terjejas, kami akan berusaha memohon bantuan di bawah tabung koperasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya