KOTA BHARU: Kejatuhan harga emas sejak beberapa hari lalu dilihat ‘gagal’ menarik orang ramai untuk membeli perhiasan itu.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kedai emas di Pasar Siti Khadijah mendapati, premis itu lengang tanpa kehadiran pelanggan.
Malah kebanyakan pelanggan yang datang ke premis tersebut hanya untuk melihat reka bentuk dan corak terbaharu mengikut keperluan masing-masing.
Seorang peniaga kedai emas, Anani Husni Ahmad, 30, mengakui trend pembelian emas tidak serancak semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu walaupun harganya menunjukkan penurunan ketika ini.
Menurutnya, semasa PKP perniagaan emas secara dalam talian mendapat sambutan luar biasa.
“Bagaimanapun ada pelanggan datang untuk tukar ganti barang kemas lama dengan baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Seorang lagi peniaga, Asmaq Abdul Karim 32, memberitahu, kebanyakan pelanggan yang datang untuk menukar barang kemas lama dengan baharu.
Katanya, walaupun terpaksa menambah wang sedikit namun mereka rela untuk berbuat demikian.
“Antara reka bentuk yang menjadi pilihan ialah lipan, coco dan clip,” katanya.
Seorang pembeli yang dikenali sebagai Ros, 40, berkata, dia datang ke kedai emas untuk menukar rantai tangan jenis pulut dakap dan mengambilnya yang baharu jenis lipan.
“Saya bukan penggemar barang kemas tetapi hanya menukarkan yang lama kepada trend terkini mengikut keperluan,” katanya. – UTUSAN