ALOR SETAR: Tindakan kerajaan negeri mengharamkan perniagaan premis judi dan loteri di Kedah bukanlah sesuatu yang rasis atau bertujuan untuk meminggirkan kaum-kaum tertentu.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, langkah tersebut sebaliknya dibuat demi kebaikan semua pihak tanpa mengira latar belakang mahupun warna kulit.
Malah katanya, selepas tindakan itu diambil, terdapat banyak pihak daripada pelbagai kaum berterima kasih kepada kerajaan negeri atas inisiatif diambil yang dilihat telah menyelamatkan ramai individu daripada terus terjerumus dalam pembaziran.
“Ini bukan soal perkauman, malah saya fikir kita tak patut langsung kaitkan kaum Cina dengan perjudian. Bukan semua orang Cina berjudi sebaliknya ramai juga yang tidak suka dengan kegiatan itu apatah lagi setelah ada dalam kalangan suami yang kuat berjudi dan kemudian balik rumah, pukul isteri.
“Apabila kerajaan negeri tutup premis judi, ada golongan isteri yang cakap bagus dan ucapkan terima kasih. Katanya, suaminya sudah tidak lagi berjudi di kaunter sampai habis duit cecah RM50,000.
“Duit itu kalau buat rumah pun dah siap. Hakikatnya ini bukan langkah bersifat perkauman tetapi sengaja dipolitikkan pihak tertentu untuk kepentingan mereka sahaja,” katanya dalam sembang santai secara langsung di media sosial TikTok, malam tadi.
Mengulas lanjut kata Muhammad Sanusi, keputusan kerajaan negeri untuk mengharamkan premis judi di negeri ini turut dihormati oleh Kerajaan Persekutuan yang kemudiannya mengharamkan lesen perjudian di Kedah.
“Kerajaan negeri hanya ada kuasa berkaitan lesen premis sahaja melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), jadi saya gunalah kuasa itu.
“Demi menghormati keputusan itu, maka atas permintaan kita, Kerajaan Persekutuan turut tamatkan lesen perjudian di Kedah. Jadi jangan kata di Kedah ini hanya lesen premis judi saja kita tak beri sebaliknya lesen perjudian dikeluarkan Kerajaan Persekutuan juga ditamatkan,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut mencabar pihak-pihak yang ‘bising’ berhubung perkara tersebut agar membuat kajian mengenai pulangan diterima negara bagi membenarkan kegiatan perjudian berbanding kerugian dialami akibat kerosakan berpunca daripada judi.
“Hangpa (anda) cuba tengok berapa pulangan sektor perjudian di negara ini berbanding bala bencana dihasilkan akibat judi. Berapa nilainya nak merawat orang sakit mental, masalah keruntuhan keluarga, pengabaian pendidikan anak-anak dan macam-macam penyakit lain berpunca daripada judi.
“Kalau nak kaji, kaji betul-betul daripada segala sudut. Saya kaji daripada aspek sosial, ekonomi dan agama, semuanya tak sokong sektor perjudian ini,” katanya. –UTUSAN