Hanya 2.4 peratus daripada keseluruhan OKU berdaftar dengan kerajaan - Utusan Malaysia

Hanya 2.4 peratus daripada keseluruhan OKU berdaftar dengan kerajaan

CHOW Kon Yeow (kanan) meluangkan masa melawat beberapa gerai pameran ketika majlis perasmian Mini Karnival OKU di Pantai Robina Eco Park, Butterworth, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Hanya 2.4 peratus atau kira-kira 633,653 daripada penduduk Malaysia berdaftar sebagai orang kurang upaya (OKU) dengan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sehingga hujung tahun lalu.

Angka itu dianggap rendah kerana jumlah OKU yang terdapat di Malaysia ketika ini dianggarkan sebanyak 10 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi penduduk yang melebihi 33 juta orang.

Justeru, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu berkata, pihaknya mengambil beberapa inisiatif untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan anggota masyarakat dan ahli keluarga yang mempunyai anak OKU untuk segera mendaftar.

Kata beliau, antara inisiatif itu termasuk menganjurkan karnival mini untuk meraikan golongan berkenaan dengan menggabungkan penyertaan daripada pelbagai pertubuhan pemulihan dalam komuniti (PDK).

“Kita berharap lebih ramai ibu bapa khususnya yang mempunyai anak-anak OKU ini tidak lagi berasa rendah diri selepas ini. Sebaliknya, mereka perlu tampil untuk kita kenal pasti (masalah anak mereka) dan jika dapat dibantu lebih awal (pemulihan), maka itu lebih baik.

“Pada masa sama, kita berharap dapat menghilangkan stigma terhadap OKU dalam kalangan masyarakat menerusi program-program dan kempen kesedaran seperti ini,” ujarnya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Mini Karnival OKU peringkat negeri di Pantai Robina Eco Park di sini yang disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Hadir sama pada karnival yang berlangsung selama sehari itu ialah Timbalan Ketua Pengarah (Strategik), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Rosmahwati Ishak.

Ketika ini, terdapat kira-kira 565 PDK di seluruh negara yang mampu memberi manfaat kepada lebih 18,000 OKU dengan 24 daripada PDK tersebut berada di Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu, terdapat seramai 34,445 OKU berdaftar di Pulau Pinang sehingga bulan ini.

Katanya, bagi memastikan nasib golongan itu terbela, kerajaan negeri turut menyalurkan pelbagai sumbangan menerusi beberapa program dan inisiatif berkaitan termasuk Program Bantuan I-Sejahtera yang diperkenalkan sejak 2011.

“Sehingga 14 Februari lalu, jumlah penerima Program bantuan OKU I-Sejahtera adalah seramai 109,344 orang dengan peruntukan sebanyak RM14.04 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan Pulau Pinang untuk tujuan itu,” jelasnya.

Sempena perasmian karnival itu juga, Kon Yeow turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM120,000 untuk diagihkan kepada semua 24 PDK di seluruh negeri itu bagi membolehkan mereka merencanakan sebarang program serta aktiviti berkaitan selepas ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya