KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Sesyen hari ini dilihat ‘naik angin’ apabila pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali dan peguam belanya tidak berada dalam mahkamah mengikut masa yang ditetapkan.
Hakim Izralizam Sanusi dalam nada tegas mengingatkan semua yang terlibat dengan prosiding tersebut agar menghormati masa mahkamah.
“Peguam bela di mana? Semalam saya telah tetapkan pukul berapa? 9.30 pagi betul? Awak ingatkan sikit anak guam awak. Dia adalah orang kena tuduh (OKT), semalam lambat, hari ini lambat,” kata Izralizam kepada pembantu peguam bela, Siti Zulaikha Zulkifli.
Menjawab pertanyaan itu, Siti Zulaikha berkata, anak guamnya telah tiba tetapi berkemungkinan telah pergi ke tandas.
Izralizam: Hari ini dia lambat atas alasan apa?
Siti Zulaikha: Saya percaya dia telah tiba tapi dia mungkin ke tandas.
Izralizam: Jadi dia tidak boleh tunggu saya naik (mulakan prosiding) dulu pada pukul 9.30 pagi?
Pada ketika itu, Siti Bainun dilihat memasuki dewan mahkamah dan hakim terbabit segera menyuruh wanita itu memasuki kandang tertuduh.
Izralizam: Kamu pergi mana tadi? Saya sudah kata kes bermula pada pukul 9.30 pagi semalam. Kenapa kamu keluar?
Siti Bainun: Saya ada dekat luar. Jawab ‘call’.
Izralizam: Kamu datang lambat, apa kamu nak cakap?
Siti Bainun: Saya dekat luar tadi, saya tidak dengar mahkamah sudah bermula. Saya jawab ‘call’.
Izralizam: Kamu tahu mahkamah akan bermula 9.30 pagi kan? Jadi kamu patut berada dalam mahkamah. Ada panggilan ke apa kamu tidak perlu jawab. Saya dah masuk, timbalan pendakwa raya dah masuk, kenapa kamu tidak boleh?
Siti Zulaikha kemudian minta supaya mahkamah ditangguhkan sementara bagi menunggu kehadiran peguam bela, Mohammad Farhan Maaruf.
‘Permintaan’ itu menyebabkan Izralizam sekali lagi mengingatkan semua pihak untuk menepati masa kerana beliau telah mengosongkan keseluruhan hari itu bagi tumpu pada perbicaraan kes itu.
Mengikut pertuduhan, Siti Bainun, 31, didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – UTUSAN