Haiwan disangka anjing rupa-rupanya beruang matahari - Utusan Malaysia

Haiwan disangka anjing rupa-rupanya beruang matahari

GAMBAR tular beruang matahari di tepi jalan berhampiran Kampung Jelutong, Malim Nawar, Kampar. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Seorang lelaki tidak menyangka haiwan berkeliaran yang disangkakannya anjing, rupa-rupanya seekor beruang matahari.

Kelibat haiwan liar itu dilihat merayau di tepi jalan dekat Kampung Jelutong, Malim Nawar di sini sekitar pukul 12.30 tengah malam semalam.

Menurut Mohamad Hanafi Musa, 27, dia terkejut apabila haiwan itu dapat dilihat dengan lebih jelas ketika ia berada di bawah tiang elektrik.

Bagaimanapun katanya, haiwan itu menghilang ke hutan berhampiran dan gagal dikesan.

“Ketika sedang menunggang motosikal, saya nampak seekor haiwan berwarna hitam di tepi jalan dan ingatkan anjing liar.

“Namun apabila menyedari saiznya agak besar, saya berhentikan motosikal dan cuba perhatikan betul-betul. Dengan bantuan cahaya dari tiang elektrik, memang haiwan itu kelihatan seperti beruang,” katanya di sini hari ini.

Katanya, penemuan haiwan liar itu pertama kali di kampung berkenaan dan ia mendatangkan kebimbangan penduduk setempat.

“Kami sudah maklumkan kepada pihak berkuasa berkaitan perkara ini. Penduduk kampung juga akan lebih berhati-hati untuk keluar bekerja di kawasan kampung bagi elak perkara tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, pihaknya menerima laporan daripada penduduk dan ia merupakan laporan kedua diterima dalam tempoh dua minggu.

Katanya, kakitangan telah dihantar ke lokasi aduan bagi mengesan haiwan tersebut.

“Kita percaya beruang matahari itu tersesat dari hutan berhampiran. Dalam hal ini, orang ramai dinasihatkan agar tidak mengambil tindakan sendiri apabila terserempak dengan haiwan tersebut.

“Jangan lakukan sebarang provokasi mahupun menangkap haiwan itu, pastikan jaga jarak dan hubungi pihak berkuasa segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya