KUANTAN: Seorang bekas penyelia Felda dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM8,000 di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini gara-gara dengan sengaja menggunakan wang peneroka berjumlah RM150,793 untuk pelaburan Forex, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Aizat Zaidi, 34, mengaku bersalah atas tuduhan pindaan yang dikenakan terhadapnya di hadapan hakim, Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain.
Berdasarkan pertuduhan pindaan, tertuduh sebagai penyelia Felda Sebertak, Bera, telah memalsukan sebahagian tandatangan peneroka pada senarai akuan penerimaan bayaran tunai serta senarai akuan penerimaan bayaran tunai pendahuluan tunai (pt).
Muhammad Aizat didakwa melakukan kesalahan tersebut antara November dan Disember 2020 manakala pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 464 (a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.
Ketika prosiding, tertuduh yang diwakili peguam, Mazura Ismail membuat rayuan agar anak guamnya dikenakan hukuman penjara paling minimum tanpa denda.
Menurutnya, tertuduh sudah insaf dengan perbuatannya malah telah membuat bayaran ganti sebanyak 50 peratus daripada nilai keseluruhan wang kepada peneroka terbabit selain berhasrat untuk membayar semua wang peneroka berkenaan.
Akibat kes berkenaan, Muhammad Aizat turut hilang pekerjaannya.
Tertuduh kini bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan RM50 sehari malah perlu menanggung ibu dan bapanya yang sudah tua.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif dalam hujahnya berkata, tindakan tertuduh mencalarkan imej penjawat awam serta intergriti Felda.
Sementara itu, mahkamah setelah mengambil kira hujah pihak pendakwa raya dan mempertimbang rayuan tertuduh menjatuhi hukuman penjara enam bulan serta denda RM8,000 manakala wang jaminan dikembalikan, jika gagal membayar denda tertuduh dikenakan penjara tiga bulan. – UTUSAN