PETALING JAYA: Beberapa usaha akan diambil Jabatan Penjara Malaysia bagi mengurangkan kesesakan di seluruh penjara dalam negara terutama Penjara Sungai Buloh.
Jabatan Penjara dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya sedang mengkaji penggunaan peranti pemantauan elektronik (EMD) kepada banduan reman berisiko rendah bagi mengelak ditahan di penjara.
Kata kenyataan itu, langkah berkenaan antara usaha Reformasi Penjara sedang dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah kesesakan itu.
“Antara usaha lain, pemasangan katil bertingkat untuk kegunaan banduan di sel dan dormitori penjara dan bekerjasama dengan mahkamah bagi mempercepatkan perbicaraan.
“Jabatan Penjara juga memfokuskan program pemulihan dalam komuniti yang ketika ini membabitkan seramai 82,487 banduan dengan kadar residivis 0.24 peratus,” katanya di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu, program pemulihan dalam komuniti itu turut membabitkan sejumlah banduan sabitan yang ditempatkan di Penjara Sungai Buloh.
Selain itu, Jabatan Penjara berkata, pihaknya juga menggunakan bekas tapak Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai Pusat Reintegrasi Penghuni dan Penjara Satelit.
“Melalui langkah diambil, katanya, masalah kesesakan dialami Penjara Sungai Buloh sudah dapat dikurangkan.
“Peratus lebihan jumlah banduan pada ketika ini adalah 36 peratus berbanding kapasiti maksimum 4,200 banduan iaitu tambahan 20 peratus daripada kapasiti sedia ada,” jelasnya.
Tambah kenyataan itu, langkah mengurangkan kesesakan itu akan diteruskan melalui kerjasama pelbagai agensi yang turut memberi tumpuan kepada pengurangan jumlah banduan reman.
Terdahulu, Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Ramkarpal Singh dilaporkan berkata, Penjara Sungai Buloh semakin sesak, apabila penempatan banduan melebihi 2,000 orang daripada kapasiti ditetapkan.
Beliau mendedahkan perkara itu memandangkan kesesakan penjara itu adalah amat membimbangkan. – UTUSAN