SHAH ALAM: Sebagai tanda penghargaan atas kemenangan yang diraih pada kemuncak Anugerah Gempak Most Wanted 2022 (GMWA2022), pempengaruh dan usahawan, Hafiz Mahamad, menghadiahkan kakitangannya bonus sebulan gaji, selain sehari cuti.
Berita gembira itu diumumkan Hafiz selepas dinobatkan sebagai penerima anugerah tersebut, sekali gus turut bergelar individu paling berpengaruh di media sosial.
Jelas Hafiz, dia mahu menunaikan hasrat tersebut selepas melihat kesungguhan kakitangannya mengundi dan memberi sokongan padu atas usahanya selama ini.
“Saya tengok kesungguhan mereka dan itu yang buat saya sayang dan hargai usaha mereka. Saya berniat kalau ada rezeki menang, saya akan bagi satu hari cuti. Saya ada dua bisnes iaitu Ainaa Beauty dan Ainaa Clinic.
“Untuk Ainaa Clinic, saya akan hadiahkan kakitangan satu bulan bonus gaji sempena raya nanti. Untuk Ainaa Beauty pula, saya ada kejutan lain.
“Pekerja saya seramai 70 orang dan keseluruhan bonus yang saya peruntukan mencecah RM300,000,” katanya.
Hafiz berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas GMWA2022 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, semalam.
Hafiz turut mendedikasikan kemenangan itu buat semua pekerjanya.
“Bila ada anugerah seperti ini dan tercalon, pada mulanya agak janggal juga. Sejak awal percalonan lagi, semua kakitangan menyatakan sokongan dan mahu melihat saya menang.
“Saya cakap pada isteri, mahu datang ke sini (GMWA) dan bawa pulang sesuatu untuk pekerja saya. Mereka memang betul-betul bekerja keras, malah setiap hari mengundi saya,” katanya.
Terdahulu, Hafiz dinobatkan sebagai Gempak Most Wanted 2022 dengan undian tertinggi 125,288, selain turut membawa pulang trofi Anugerah Digital Influencer Tergempak.