GEORGE TOWN: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mendakwa Kerajaan Perpaduan gagal mengawal harga barangan keperluan rakyat seperti sayur-sayuran dan telur yang dilihat terus meningkat pada masa ini.
Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu segera menyelia proses pasaran sayur-sayuran bagi mengelak orang tengah mengaut keuntungan besar.
”Harga sayur-sayuran telah meningkat lebih 100 peratus pada bulan lalu, jadi kita hairan mengapa agensi kerajaan terlibat tidak mengambil sebarang tindakan.
”Kerajaan Perpaduan perlu menyelesaikan masalah kenaikan sayur-sayuran ini secepat mungkin bagi mengelakkan rakyat tertekan kerana kos sara hidup yang semakin tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, harga sayur-sayuran di negeri ini meningkat sehingga 160 peratus dan perkara itu turut diakui dalam kalangan peniaga dan pengguna di negeri ini.
Menurut Tong Keong yang juga Pengerusi Gerakan negeri, KPDN perlu segera menyiasat punca kenaikan harga sayur-sayuran supaya rakyat berpendapatan rendah tidak terjejas.
”Pada masa sama, pihak berkuasa juga perlu mengambil tindakan terhadap peniaga dan pemborong yang menaikkan harga tanpa sebab dan melanggar peraturan 2010 Kawalan Harga dan Akta Antipencatutan,” katanya.
Dalam pada itu, ujar beliau, sehingga kini bekalan telur domestik masih tidak mencukupi di pasaran walaupun Kerajaan Perpaduan bertindak mengimport telur dari India.
”Kerajaan Perpaduan lebih suka mengimport telur dari India yang tidak setanding gred C pada harga purata 50 sen sebiji berbanding memberikan subsidi yang lebih tinggi untuk penternak telur tempatan.
”Adakah penternak telur India lebih penting daripada penternak telur tempatan?” katanya. – UTUSAN