TENOM: Perbicaraan kes gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 37, yang sepatutnya diadakan esok dibatalkan.
Justeru, perbicaraan akan disambung semula pada 11 hingga 12 Mei ini bagi memberi ruang kepada pihak pembelaan melakukan semakan dokumen di Mahkamah Tinggi.
Majistret Nur Asyraf Zohani membuat keputusan itu setelah pihak pembelaan memohon agar saksi ketujuh, Pegawai Penganalisis Forensik, Inspektor Yip Chang Ching tidak dipanggil sehingga Mahkamah Tinggi membuat keputusan mengenai semakan dokumen tersebut.
Peguam mewakili tertuduh, Ram Singh memohon kepada mahkamah agar Chang Ching tidak dipanggil sebagai saksi pendakwaan pada hari ini bagi membolehkan pihaknya melakukan semakan dokumen di Mahkamah Tinggi untuk tidak membenarkan pemacu kilat yang mengandungi 90 imej berunsur lucah dijadikan sebagai bahan bukti pihak pendakwaan dalam kes ini.
Ram memberitahu mahkamah sekiranya Chang Ching dipanggil sebagai saksi hari ini maka, ia boleh mendatangkan prejudis terhadap semakan yang ingin dilakukan pihak pembelaan di Mahkamah Tinggi.
Pembelaan menyatakan perkara itu setelah mahkamah memutuskan untuk membenarkan Inspektor Yip Chang Ching hadir memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan.
Nur Asyraf dalam keputusannya memberitahu bahawa peguam bela akan diberikan masa mencukupi untuk menyemak dan meneliti dokumen mahupun memanggil semula saksi yang berkaitan dengan dokumen tersebut.
Keputusan itu dibuat setelah Ram memfailkan hujahan di mahkamah semalam bagi membantah penggunaan 90 imej berunsur lucah dijadikan bahan bukti serta Chang Ching dipanggil sebagai saksi pendakwaan.
Walau bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria membantah permohonan untuk menangguhkan perbicaraan dengan tidak memanggil Chang Ching sebagai saksi bagi perbicaraan yang telah ditetapkan pada hari ini dan esok.
Zahida memberitahu mahkamah pihak pendakwaan bersedia memanggil Chang Ching untuk memberi keterangan dalam pemeriksaan utama yang diadakan hari ini.
Malah, pendakwaan akan mengemukakan dokumen (90 imej berunsur lucah) kepada mahkamah untuk ditandakan sebagai bahan bukti pendakwaan.
Pada masa sama, pendakwaan turut bersedia memberi masa sewajarnya kepada pihak pembelaan untuk menyemak atau meneliti dokumen sebelum meneruskan soalan pihak pendakwaan selaras dengan keputusan mahkamah.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Nur Asyraf memutuskan bahawa demi keadilan, mahkamah membenarkan perbicaraan ditangguh sehingga semakan didengar dan diputuskan di Mahkamah Tinggi.
Majistet turut menetapkan tarikh 2 Mac ini untuk semakan status kes ini melalui emel dan tarikh perbicaraan berikutnya ditetapkan pada 11 dan 12 Mei; 20 hingga 23 Jun, serta 11 hingga 14 Julai ini. Mahkamah membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh dilanjutkan.-
Ebit Lew didakwa bagi 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi Whatsapp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021. Maka, kes ini didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zahida dan Nur Masrin Amalia manakala, Ebit Lew diwakili Peguam Ram, Kamarudin Mohmad Chinki dan Timothy Daut.-UTUSAN