Fokus sekuriti makanan, bukan subsidi - Utusan Malaysia

Fokus sekuriti makanan, bukan subsidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sekuriti makanan adalah penyelesaian bagi menangani cabaran kenaikan kos sara hidup dan harga barangan, bukan subsidi oleh kerajaan selama-lamanya.

Kerajaan Perpaduan melalui Belanjawan pertamanya ini perlu memulakan program sekuriti makanan secara besar-besaran, menghapuskan lesen import (AP) dan kartel-kartel yang mengawal harga secara monopoli mahupun oligopoli.

Perkara itu ditegaskan Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid yang berkata, program jangka panjang memerlukan kekuatan politik daripada pihak kerajaan, ia juga harus belajar dari negara-negara yang berjaya melaksanakannya.

“Sebagai contoh Singapura dalam kaedah sekuriti makanan dan Thailand dalam pengeluaran makanan secara moden dan komersial. Ia bukanlah mudah tetapi bukan mustahil.

“Subsidi manapun mahu dilaksanakan ia harus diadakan secara bersasar dan menepati kemahuan kumpulan sasar, misalnya golongan rentan, B40 dan M40.

“Masalahnya tiada mekanisme sesuai yang dibangunkan atau dilaksanakan sebagai projek perintis, ini tidak memberikan keyakinan kepada rakyat sekiranya subsidi pukal sekarang diubah.

“Subsidi yang utama adalah bahan api dan gas memasak LPG yang sekiranya dikurangkan akan menyebabkan kadar inflasi yang tinggi kerana ia memberikan kesan berganda kepada hampir keseluruhan harga barangan mahupun perkhidmatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata, bagaimanapun dasar fiskal kerajaan ini akan terus memberikan tekanan kepada kewangan kerajaan yang mengalami kenaikan hutang mencecah RM1.2 trilion.

Katanya, Belanjawan 2023 perlu menumpukan kepada menjana ekonomi domestik kerana ekonomi dunia dijangka meleset tahun ini dan eksport negara sudah mula menunjukkan penurunan untuk Januari tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan baru-baru ini berkata, rakyat dan Malaysia Madani menjadi keutamaan Kerajaan Perpaduan pada ketika ini.

Menurut beliau, ini termasuk Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Aimi Zulhasmi berkata, Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang dinaikkan satu peratus tahun lepas berkemungkinan dinaikkan lagi tahun ini sebanyak 0.25 ke 0.50 peratus lagi kepada tiga peratus atau 3.25 peratus iaitu kadar pada 2019.

“Namun, ia bergantung juga kepada tindakan Sistem Rizab Persekutuan Amerika Syarikat sekiranya terus menaikkan kadar faedahnya dari 4.5 peratus sekarang melebihi lima peratus atau tidak, kerana ia akan memberi kesan kepada keseluruhan pasaran modal dan kewangan dunia.

“Jadi OPR tidak mungkin diturunkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) tahun ini melainkan ekonomi negara memasuki kemelesetan seperti keadaan yang berlaku semasa pandemik melanda pada 2020 dan 2021. 

“Justeru, kita akan menantikan apakah subsidi bersasar yang banyak diperbincangkan akan diumumkan dan dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya