FLLSPG 2023 `warnai' ruang udara, cipta MBOR

FLLSPG 2023 `warnai’ ruang udara, cipta MBOR

DATUK Bandar Pasir Gudang, Dato’ Asman Shah Abd. Rahman (kanan), ADUN Tiram, Azizul Bachok (tengah); A. Rahim Nin (dua dari kiri); Edwin Yeoh (kiri) bersama dengan 25 peserta antarabangsa yang memakai baju tradisional Malaysia mencipta rekod Malaysia Book Of Records sempena Festival Layang-Layang Sedunia edisi ke-25 di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang, Johor Bahru. – UTUSAN/ RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang 2023 (FLLSPG 2023) yang dianjurkan di Bukit Layang-Layang Pasir Gudang, dekat sini bukan sahaja membawa kemeriahan tersendiri selepas terpaksa ‘direhatkan’ dua tahun lalu akibat pandemik Covid-19.

Namun, lebih bermakna penganjuran edisi ke-25 yang merupakan sambutan Jubli Perak turut mencipta rekod dalam Malaysia Book Of Records (MBOR), iaitu acara menerbangkan wau tradisional Malaysia oleh 25 peserta antarabangsa yang memakai busana tempatan secara serentak.

Nyata acara 25 peserta antarabangsa memakai busana tempatan itu merupakan simbolik bagi meraikan sambutan Jubli Perak penganjuran FLLSPG pada tahun ini.

Presiden Majlis Pelayang Malaysia, Datuk A. Rahim Nin berkata, acara tersebut merupakan salah satu tarikan bagi penganjuran FLLSPG 2023.

“Sebenarnya pada tahun 2020, kita telah merancang untuk mengadakan FLLSPG namun kerana dunia dilanda pandemik Covid-19, acara ini terpaksa ditangguhkan.

“Jadi tahun ini, setelah tiga tahun kita ‘rehat’, FLLSPG tampil dengan acara yang gemilang sempena sambutan Jubli Perak dengan acara simbolik, iaitu peserta antarabangsa menaikkan 25 wau tradisional sambil memakai busana tradisi negara kita,” katanya.

Bertemakan ‘Layangkasa Dinamik’, FLLSPG 2023 disertai lebih 800 peserta tempatan dan antarabangsa, termasuk dari Brunei, Kemboja, Indonesia, Austria, Republic Czech, New Zealand dan Tahiti.

Festival selama lima hari bermula 22 Februari merupakan anjuran bersama Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Persatuan Pelayang Johor (PPJ) dan Majlis Pelayang Malaysia (MPM) dengan kerjasama Tourism Johor, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Johor serta Persatuan Pelancongan Pasir Gudang.

Menurutnya, kebanyakan peserta antabangsa membawa layang-layang moden dari negara masing-masing dan mereka tidak mempunyai pengalaman mengendalikan wau tradisional Malaysia.

“Jadi ini merupakan salah satu pendedahan kepada mereka bagaimana untuk mengendalikan wau negara kita dan dalam masa yang sama mereka mengenakan busana masyarakat kita seperti baju Melayu, busana dari Sabah dan Sarawak.

“Rata-rata mereka teruja dan gembira dengan budaya yang kita ada dan dapat merasai pengalaman baharu,” katanya.

Sementara itu, Perunding Kanan MBOR, Edwin Yeoh berkata, pencapaian itu adalah sesuatu yang luar biasa kerana berjaya mengumpulkan peserta dari luar negara dan memakai busana tradisional Malaysia, sekali gus menaikkan wau secara serentak yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

“Untuk rekod ini, kita ambil kira penyertaan peserta antarabangsa, kalau program biasa sebelum ini, yang menaikkan wau adalah orang tempatan.

“Pengalaman berharga untuk mereka apabila dapat menaikkan wau tradisional sambil memakai baju tradisi kita. Untuk kumpulkan mereka bukan mudah, ini yang julung kali diadakan dan atas sebab itu kita iktiraf dalam MBOR,” katanya.

FLLSPG 2023 yang berakhir semalam dimeriahkan dengan pelbagai acara, antaranya pertunjukan layang-layang oleh peserta tempatan dan antarabangsa, pertandingan menaikkan wau tradisional dan antarabangsa serta bengkel membuat wau.

Acara kemuncak dan majlis perasmian FLLSPG 2023 disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

FLLSPG yang mula diperkenalkan pada tahun 1995 merupakan acara tahunan berprestij selain disenaraikan dalam kalendar pelancongan Johor dan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya