FLDP permudah urusan kemasukan pekerja asing - Utusan Malaysia

FLDP permudah urusan kemasukan pekerja asing

SAIFUDDIN Nasution Ismail (dua dari kiri) beramah mesra bersama orang ramai sewaktu melakukan lawatan ke stesen KTMB Padang Besar, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Foreign Labour Demand Portal (FLDP) bakal menjadi medium bagi memudahkan urusan kerajaan dan negara-negara sumber dalam membawa masuk pekerja asing ke Malaysia.

Menerusi pelaksanaan itu, negara-negara sumber yang membekalkan kemasukan warga asing boleh mengetahui secara lebih lanjut tentang permintaan sektor pekerjaan yang diperlukan oleh pihak industri.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, portal FLDP itu juga akan dapat diakses oleh 15 negara sumber lain bagi membolehkan pihak terlibat membuat persediaan bagi menghantar pekerja asing dalam sektor-sektor yang diperlukan.

“Kunjungan saya ke negara-negara sumber sebelum ini juga menunjukkan perkembangan positif di mana semuanya menunjukkan komitmen bagi mewujudkan portal FLDP ini dan apabila semua sistem ini saling berhubung, maka ia akan lebih menjimatkan masa serta kos,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Padang Besar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, buat masa ini, beliau telah memulakan perbincangan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia bagi memulakan pelaksanaan penubuhan portal tersebut.

Beliau berkata, pekerja asing dalam sektor-sektor kritikal di negara ini sememangnya amat diperlukan khususnya selepas era pandemik Covid-19 antaranya membabitkan bidang perladangan, perkilangan dan perkhidmatan.

“Bank Negara Malaysia (BNM) juga memaklumkan bahawa jika kita dapat permudahkan kemasukan pekerja asing ke Malaysia, langkah itu mampu memberi sumbangan signifikan kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP).

“Dengan kewujudan portal ini, ia akan memudahkan kita untuk berkomunikasi dengan negara sumber tentang keperluan sumber tenaga kerja yang diperlukan oleh sektor-sektor kritikal,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai lawatan berkenaan, Saifuddin berkata, pihaknya turun padang bagi meninjau secara dekat jejambat berhampiran Kompleks ICQS itu yang bakal dibuka semula selepas ini dan menjadi laluan buat pejalan kaki ke Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Padang Besar.

Katanya, Perbadanan Aset Keretapi (RAC) akan membina laluan pejalan kaki berpagar berhampiran jejambat berkenaan buat sementara waktu bagi menggelakkan orang ramai berkeliaran di sekitar Kompleks ICQS itu yang merupakan kawasan larangan.

“Kos bagi pembinaan laluan berpagar itu dijangka menelan belanja RM300,000 bergantung kepada harga semasa,” katanya.

Tambahnya, bagi penyelesaian jangka masa panjang, satu jejambat baharu akan dibina berhampiran kawasan itu dan dijangka menelan belanja awal sekitar RM3 juta.

“Buat masa ini, kita akan buka terlebih dahulu laluan berpagar tersebut sebagai penyelesaian jangka masa pendek bagi memudahkan pengguna dari stesen KTMB Padang Besar untuk ke arked niaga di sini,” katanya,-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya