Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang jana ekonomi setempat

Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang jana ekonomi setempat

ONN Hafiz Ghazi (tengah) menyampaikan hadiah penghargaan kepada pelayang dari England sempena perasmian Karnival Layang-Layang Sedunia di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang, Johor kelmarin. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Penganjuran Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) ke-25 mampu menjana kemakmuran ekonomi, khususnya bagi usahawan tempatan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, festival selama lima hari yang bermula 22 Februari lalu itu berjaya menarik kehadiran lebih 300,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.

Menurutnya, festival yang diadakan semula selepas tertangguh selama dua tahun akibat pandemik Covid-19 itu telah menarik penyertaan pelayang dari 40 buah negara.

“Bukan hanya menjadi acara pelancongan yang signifikan di negeri Johor khususnya dan negara amnya, FLLSPG ini diharap dapat memainkan peranan tersendiri dalam menjana kemakmuran ekonomi setempat.

“Saya dimaklumkan ada empat negara baharu turut serta buat kali pertama iaitu Republik Czech, Isle of Man, Northern Ireland dan Tahiti. Selain daripada peserta berdaftar, jumlah peminat yang turut sama bermain layang-layang sepanjang festival ini dijangka mencapai angka ribuan orang,” katanya semasa merasmikan FLLSPG ke-25 di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang, dekat sini, malam semalam.

Yang turut hadir, Presiden Majlis Pelayang Malaysia (MPM), Datuk A. Rahim Nin dan Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Azmi Rohani.

Sementara itu, A. Rahim memberitahu, festival yang disertai 700 pelayang tempatan dan 109 peserta antarabangsa itu memberi limpahan ekonomi kepada lebih 350 pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS).

Katanya, program itu secara tidak langsung kembali meletakkan Pasir Gudang dalam peta pelancongan dunia seperti sebelum pandemik dengan kehadiran pelancong antarabangsa.

“Kehadiran pelancong dalam dan luar negara merangsang ekonomi di Pasir Gudang apabila peserta dari 40 negara hadir bersama-sama keluarga dan rakan-rakan mereka.

“Saya juga difahamkan semua inap desa dan hotel di sekitar Pasir Gudang mendapat tempahan penuh, semua ini adalah kesan daripada penganjuran FLLSPG,” jelasnya.

Selain pertunjukan layang-layang, pelbagai aktiviti lain turut diadakan termasuk acara menaikkan 25 wau tradisional Malaysia oleh peserta antarabangsa yang mendapat pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

FLLSPG ke-25 dianjurkan MPM dengan kerjasama Persatuan Pelayang Johor; Majlis Bandaraya Pasir Gudang; Tourism Johor dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Johor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya