SHAH ALAM: Pengunjung bakal merasai kelainan dalam suasana membeli-belah untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini apabila mengunjungi Kaloot Raya Fest 2023 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) pada 14 hingga 16 April nanti.
Pengarah Urusan Arena Vision Management, Hurriyah Alhusna Mohd. Nashim berkata, kali ini SCCC dipilih sebagai lokasi Kaloot Raya Fest 2023 kerana lebih besar dan memberikan keselesaan kepada pengunjung.
“Kita menjangkakan 300 peniaga menyertai festival perayaan ini untuk menjual kelengkapan, pakaian serta makanan bersempena dengan sambutan Aidilfitri kali ini.
“Beberapa jenama popular dijangka menyertai Kaloot Raya Fest 2023, justeru pengunjung boleh membeli produk mereka di festival itu,” katanya dalam majlis pengumuman Kaloot Raya Fest 2023 yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Raja Hairul Azmil Tengku Azmi Karib di SCCC, semalam..
Tambahnya, Kaloot Raya Fest 2023 akan menyediakan 260 buah khemah perniagaan di dalam dan luar pusat konvensyen bagi 300 peniaga yang akan menyertai festival berkenaan.
Dengan kemudahan tersebut dan penambahan jumlah peniaga, katanya, festival berkenaan dijangka lebih meriah dan memberikan keseronokan dan kegirangan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Kami menjangkakan lebih 200,000 pengunjung akan hadir ke Kaloot Raya Fest 2023 yang berlangsung selama tiga hari itu. Dijangkakan beberapa artis tempatan akan memeriahkan Kaloot Raya Fest 2023 kali ini,” ujarnya.
Kata Hurriyah, pelbagai kelengkapan dan makanan Aidilfitri yang ditawarkan dalam festival berkenaan dijual pada harga yang berpatutan.
Bagi peniaga yang berminat menyertai Kaloot Raya Festy 2023, mereka boleh membuat permohonan di laman sesawang rasmi Kaloot Raya Fest, dengan tarikh tutup permohonan pada 15 Mac depan..-utusan