Evolusi alunan pop moden, balada Aina Abdul - Utusan Malaysia

Evolusi alunan pop moden, balada Aina Abdul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA dengan single, Ini Yang Kau Mahu pada 2015 tidak menjadikan penyanyi, Aina Abdul, sebagai bintang bersinar, meskipun dia dinobat sebagai naib juara dalam program realiti, Mentor Legend. 

Dengan susunan lagu dan penulisan lirik yang klise, Ini Yang Kau Mahu dirakam bersama syarikat rakaman Indigital tidak berhasil menjadi karya malar segar. 

Jika ada pendengar meminta stesen radio memutarkannya kembali, pasti tertanya-tanya, adakah benar ini lagu Aina Abdul? Hanya selepas dia berentap di pentas Anugerah Juara Lagu Ke-34 melalui single berjudul Sumpah, kehidupan Aina berubah selepas tragedi ‘berdarahnya’. 

Meskipun gagal mendapat tempat, Sumpah terus menjadi bualan dan hiburan pendengar lagu jiwang karat, sehingga di YouTube merekodkan 7.4 juta tontonan dan 3.4 juta di platform muzik digital, Spotify. 

Jika ditanya, siapakah figura seni suara yang wajar dijadikan contoh era kini, tidak keterlaluan jika dikatakan Aina adalah orangnya.

Ukiran seni wanita bersuara lantang ini amat unik. Untaian lagu-lagunya berevolusi, tidak terikat dengan konsep ‘leman’ dan patah hati. 

Memandangkan Aina seorang penyanyi indie dan tidak terikat kontrak dengan syarikat rakaman yang established, dia bebas memilih. 

Disebabkan itu, setiap lagu yang dihasilkan kedengaran mewah dan membuatkan perjalanan kerjaya nyanyiannya terus mekar di halwa telinga pendengar. Buktinya, sejak Sumpah dihambat kontroversi, dia tidak lagi menoleh ke belakang. 

Single demi single terus diterbitkan seperti Semalam dalam rentak balada yang kedengaran goosebump. Maybe dan Kelip-Kelip pula beredar sebagai extended play (EP) di pasaran muzik tempatan, bergerak sebagai pop moden diramu dengan elemen balada. 

Sepi, salah satu single yang penulis kagumi. Petikan gitar pada awalnya diselangi pukulan dram serta bass menjadikannya sebagai naskhah yang sempurna. Tidak hairan mengapa lagu ini dirakam semula dalam versi Korea.

Penulis terus terlarut dengan alunan pada minit 1.20 yang berbunyi “pedihnya jalan berduri, terus melangkah, tiada gentar, sakitnya jiwaku meniti lara” sebelum sampai pada bahagian korus dan bridge. 

Aina meneruskan langkah dengan menyatukan tiga naskhah agungnya, Sumpah, Semalam dan Sepi di dalam satu lagu berjudul Aina Abdul. 

Ternyata, hype yang dirasai dengan niat menjadikan lagu ini sebagai tribute tidak sampai kepada pendengar apabila Aina hanya mengitar semula lagunya dalam rendisi yang berbeza. 

Bagi penulis, ini hanyalah pembaziran kerana ketiga-tiga lagu berkenaan masih baharu dan mampu berdiri sendiri tanpa perlu direkayasa. 

Lagipun, Sumpah, Semalam dan Sepi bukannya muncul lewat 1980-an atau 1990- an yang perlu diolah semula. 

Sama seperti Sepi, Aina menghasilkan Terus Hidup yang beredar tahun lalu benar-benar menguji dalam aspek susunan lagu supaya lebih seimbang, bait-bait lirik cukup puitis, penuh soul dan dinamik. 

Ia terangkum sebagai karya yang cukup ramuan dan berseni. Pada awalnya mungkin belum terasa ketika biola dan piano dimainkan. 

Nyanyian Aina bermula pada minit 2.30 kedengaran seperti satu momentum yang penuh epik dan meremangkan. Ia diserikan dengan bahagian bridge yang kedengaran pantas berbunyi “takkan mati jiwaku, yang ada hanya rindu.” 

Andai Terus Hidup diangkat sebagai Juara Lagu dan Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL37), malam ini, tidak hairan mengapa ia kedengaran seperti itu. 

Munculnya Aina dalam industri muzik tempatan mempelbagaikan lagi naskhah pop moden dan balada. 

Aina sudah memintas segelintir penyanyi lama dengan menganjurkan konsert solonya, A Night with Aina Abdul 2.0 Live Concert di Istana Budaya, pada saat penyanyi senior masih belum mempunyai peluang itu. 

Cuma, kalau Aina bersabar sedikit lagi mengumpulkan kesemua single yang diterbitkan, sudah pasti dia memiliki album debut, sekali gus menguatkan lagi portfolionya sebagai penyanyi. 

Tidak dapat bayangkan andai Aina hadir dengan album penuh, selain kompilasi lagu yang dihasilkan sejak 2015.

Dari satu sudut, penulis sedar, penghasilan album perlu dirancang dengan baik kerana kosnya bukan murah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya