Enggang Jambul Putih muncul di Perlis

Enggang Jambul Putih muncul di Perlis

BURUNG Enggang Jambul Putih yang lazimnya ditemui di kawasan hutan sekitar Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak berjaya dicerap di Taman Negeri Perlis menerusi Program Survei Hidupan Liar (Burung), baru-baru ini. – UTUSAN/SHAIFUL AZHAR ABU BAKAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Sekumpulan spesies burung enggang jambul putih (white crowned hornbill) ditemukan di Taman Negeri Perlis di Wang Kelian di sini.

Penemuan itu berjaya dira­kam­kan menerusi program Survei Hidupan Liar (Burung) di bawah dana Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional (NCTF) Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) baru-baru ini.

Penemuan burung dari spesies Berenicornis Comatus di kawasan tersebut dianggap unik memandangkan habitat asalnya lebih tertumpu di hutan Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Burung berkenaan bergerak secara berkumpulan dan mempunyai keunikan bulu berwarna putih pada bahagian jambulnya serta berekor panjang.

Program dilaksanakan oleh Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) melibatkan kakitangan unit taman negeri berkenaan, Jabatan Perhilitan dan Pencinta Hijau dan Hidupan Liar Perlis (PNW) bermula 13 sehingga 19 Januari itu juga membawa kepada penemuan beberapa spesies burung yang jarang ditemui seperti Beberek Janggut Merah.

Empat spesies burung Beberek yang direkodkan pernah dirakamkan di Semenanjung sebelum ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Teknikal NEST, Ismail Mamat berkata, terdapat lebih 100 spesies berjaya dicerap sepanjang program itu dilaksanakan terdiri daripada keluarga burung seperti Merbah, Belatuk, Kelicap, Takur dan Helang.

“Dalam program itu, cerapan juga dilakukan pada waktu malam di mana kami menemui beberapa spesies burung iaitu burung hantu dan burung tukang.

“Agak menarik di Taman Negeri ini juga terdapat burung-burung hijrah berhenti sebentar atau singgah di hutan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, penemuan spesies-spesies burung yang unik dan menarik di kawasan hutan itu berpotensi dalam membuka peluang untuk mempromosikan sektor eko-pelancongan berasaskan Avi Tourism.

Katanya, objektif utama program itu adalah untuk merekodkan spesies yang terdapat di taman negeri bagi membina satu pangkalan data burung yang lengkap dan terkini.

“Program ini dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar negeri, Megat Hashirat Hassan bersama Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Awang Shaffie Awang Ahmadni dan Presiden NEST, Sulaiman Salikan,” katanya.

Menurutnya, program tersebut juga dirancang dilaksanakan di beberapa taman negeri lain selepas ini iaitu Taman Negeri Bukit Wang, Kedah, Gunung Telapak Buruk, Negeri Sembilan, Suaka Burung Panti, Johor dan Taman Negeri Endau Rompin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya