SABAK BERNAM: Tindakan pantas bomba memadamkan api berjaya mengelak kebakaran besar deretan enam buah rumah di Taman Pertama di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 1.40 petang itu bermula dari sebuah rumah teres tingkat yang terbakar di tingkat atas.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pukul 1.50 petang.
Katanya, operasi pemadaman itu disertai sepasukan 14 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam dan Sungai Besar.
“Pemeriksaan lanjut mendapati api sedang marak di bilik tingkat atas rumah tersebut namun berjaya dikawal.
“Namun, api yang merebak menerusi bumbung akibat ketiadaan dinding pemisah menyebabkan lima rumah lain turut terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Hafisham, tiada mangsa atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran itu.
“Api berjaya dipadamkan sepenuhnya dan pemantauan lanjut masih dijalankan bomba. Nilai kerugian dan punca sebenar kejadian juga masih dalam siasatan,” ujarnya. – UTUSAN