Enam negeri sepakat bubar DUN Jun ini - Utusan Malaysia

Enam negeri sepakat bubar DUN Jun ini

Bubar DUN
AMINUDDIN Harun (dari kiri), Chow Kon Yeow, Ahmad Yakob, Amirudin Shari, Muhammad Sanusi Md. Nor dan Ahmad Samsuri Mokhtar dalam pertemuan sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Enam negeri, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu sepakat bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada Jun ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Kesepakatan itu dicapai menerusi pertemuan enam mata antara Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Datuk Seri Aminuddin Harun (Negeri Sembilan), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor (Kedah), Datuk Ahmad Yakob (Kelantan), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (Terengganu) dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Amirudin berkata, kesemua pemimpin negeri itu sepakat untuk membubarkan dun dalam dua minggu terakhir Jun dalam pertemuan tersebut sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu, hari ini.

“Alhamdulillah kami berenam mengambil kesempatan minum petang di Kuala Lumpur sempena Mesyuarat Majlis Raja Raja yang bersidang dua hari ini.

“Secara ringkas kami mencapai kata sepakat untuk mempertimbangkan pembubaran DUN masing-masing dalam dua minggu terakhir Jun tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, keenam-enam negeri itu tidak mengadakan PRN serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November tahun lalu sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh.

Dalam pada itu, Amirudin menambah, persefahaman tersebut sudah pasti akan dimaklum serta dibincangkan di peringkat parti masing-masing sebelum dipersembah bagi tujuan perkenan Sultan, Yang Dipertuan Besar serta Tuan Yang Terutama negeri masing-masing.

“Semoga persefahaman ini dapat mempermudahkan usaha rakyat untuk merayakan demokrasi kelak, insya Allah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya