Dulu pekerja kilang, sekarang usahawan makanan ringan

Dulu pekerja kilang, sekarang usahawan makanan ringan

NORMA Md. Hashim (kiri) bersama pekerjanya di kilangnya di Bakau Tua, Butterworth, Pulau Pinang, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Impian seorang wanita di sini untuk memiliki perniagaan sendiri tercapai apabila menjadi usahawan makanan ringan berdaya saing meskipun pernah bergelar pekerja kilang sebelum ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik dan pengasas NormaFadzli Enterprise, Norma Md. Hashim, 53, berkata, biarpun perniagaannya itu baru mencecah usia tiga tahun, baginya tiada istilah terlambat jika ingin mengubah nasib hidup menjadi lebih baik.

“Setelah menamatkan perkhidmatan di sebuah syarikat swasta dekat Perai, Butterworth kira-kira tiga tahun lalu, saya bertekad membuka perniagaan makanan ringan seperti menghasilkan kuih siput, tempeyek, karipap sejuk beku dan lain-lain kuih kerana tidak mahu membuang masa berikutan sudah terbiasa hidup bekerja,” katanya ketika ditemui di kilangnya dekat Bakau Tua, Kuala Muda, di sini baru-baru ini.

Ibu kepada empat anak itu berkata, berbekalkan pengalamannya sebagai usahawan kecil-kecilan sedikit sebanyak membantunya dalam selok-belok perniagaan yang diusahakan kini.

“Selepas berhenti kerja kilang, barulah saya mula fokus buat bisnes ini secara lebih serius yang mana saya mendaftarkan perniagaan seterusnya menyewa sebuah premis untuk dijadikan kilang pemprosesan makanan ringan di Bakau Tua,” katanya.

Tambahnya, perniagaan yang diusahakan itu mula mendapat sambutan selepas perintah kawalan pergerakan (PKP), malah pengeluaran produk makanan utama yang dikeluarkan ketika ini adalah kuih siput.

“Sambutan yang diterima dalam kalangan pelanggan amat menggalakkan memandangkan sebelum ini saya sudah mempunyai pelanggan tetap yang sering membuat tempahan dalam kuantiti yang banyak.

“Hasil jualan yang meningkat membolehkan saya membeli sebuah mesin memproses kuih siput bernilai RM5,000 yang mana ia lebih menjimatkan masa kira-kira 70 peratus berbanding menggunakan tangan yang memakan masa setengah hari untuk menyiapkan hanya tiga kilogram kuih siput,” katanya.

Norma yang menerima Pengiktirafan Khas dalam Program Mentor Keusahawanan Wanita Pulau Pinang anjuran Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), baru-baru ini berkata, dia juga tidak terlepas menerima pandangan skeptikal sesetengah masyarakat terhadap usahanya menguruskan perniagaan di kala usianya sudah mencapai separuh abad.

“Namun, saya tidak mahu ambil pusing mengenai perkara tersebut sebaliknya ingin pandang ke hadapan dan fokus memajukan diri dan perniagaan dengan menyertai program keusahawanan yang kebanyakannya anjuran kerajaan negeri kerana ilmu pengetahuan itu penting untuk kita terus maju,” katanya.

Menurutnya, memandangkan dia tidak memiliki kedai sendiri selain kilang memproses, produk makanan ringannya itu dijual di ekspo-ekspo tertentu, pasar malam serta diletakkan di kedai-kedai sekitar Kepala Batas dan Perai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya