ARAU: Dua penyelidik wanita dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dipilih bagi menerima biasiswa pascadoktoral Kesatuan Eropah (EU) baru-baru ini.
Dua penyelidik berkenaan, Prof. Madya Dr. Zunaida Zakaria dari Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia (FKTK) dan Prof. Madya Dr. Zarina Yahya dari Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam (FKTA) menjadi antara 43 peratus penyelidik wanita yang berjaya menerima biasiswa tersebut.
Naib Canselor Unimap, Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, pencapaian dua penyelidik itu adalah sangat membanggakan memandangkan hanya lapan calon di peringkat ASEAN telah dipilih bagi menerima pengiktirafan itu.
“Daripada seramai 7,044 calon yang memohon, hanya 1,235 terpilih bagi menerima biasiswa ini dan mereka berdua adalah antara enam rakyat Malaysia yang menjadi penerima biasiswa itu.
“Ini merupakan julung kali pensyarah Unimap menerima biasiswa daripada EU dalam skim pascadoktoral,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Untuk rekod, dua penyelidik Unimap sebelum ini juga pernah menerima geran daripada EU iaitu Prof. Madya Dr. Noorhafiza Mohammad dan Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah.
Dalam pada itu, Zaliman berkata, projek-projek yang dipilih bagi menerima biasiswa itu merangkumi semua disiplin saintifik iaitu sains sosial dan kemanusiaan, sains hayat, sains maklumat dan kejuruteraan, kimia, fizik, alam sekitar dan geosains, matematik dan sains ekonomi.
Katanya, kejayaan yang diraih menerusi pemberian biasiswa itu juga sedikit sebanyak dapat menampilkan Unimap dipersada antarabangsa.
“Ini juga selari dengan hasrat universiti untuk melihat warganya mendapat pengiktirafan dalam pelbagai bidang sama ada di dalam mahu pun luar negara,” katanya. –UTUSAN