KUALA SELANGOR: Dua penagih dadah nekad terjun ke dalam sungai berdekatan Taman Muara Esbee, di sini selepas dikejar pasukan polis ketika membuat serbuan ke atas mereka pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun, salah seorang daripada mereka ditemukan lemas pada pagi tadi.
Menurut sumber, penagih berkenaan berada dekat sebuah rumah nelayan di kawasan perumahan berkenaan sebelum tempat tersebut diserbu.
“Difahamkan semasa kejadian, mereka berdua dipercayai sedang menghisap dadah di sebuah rumah nelayan di taman itu. Apabila mereka nampak polis tiba, mereka berdua panik dan terus terjun ke dalam sungai,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis memberitahu, bomba menerima panggilan berhubung insiden terbabit malam Jumaat lalu.
Menurutnya, sepasukan 15 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor serta Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) JBPM Selangor terlibat dalam operasi mencari mangsa.
“Mangsa pertama yang berumur 31 tahun telah ditemui oleh sekumpulan nelayan kira-kira pukul 7.52 pagi ini. Mangsa ditemui kira-kira satu kilometer daripada jarak pusat kawalan operasi,” jelasnya.
Menurutnya, mayat mangsa telah diserahkan kepada anggota polis untuk tindakan selanjutnya sementara bomba masih mencari seorang lagi lelaki berusia 24 tahun itu.
Kata Norazam, pihaknya kini sedang mencari seorang lagi mangsa yang berumur 24 tahun itu.
“Kedua-dua mangsa adalah warga tempatan,” ujarnya. – UTUSAN