Dua lelaki diberkas, kenderaan bawa daun ketum terbabas - Utusan Malaysia

Dua lelaki diberkas, kenderaan bawa daun ketum terbabas

ANGGOTA tentera memeriksa sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux disyaki membawa muatan daun ketum yang terbabas ketika dikejar pasukan keselamatan itu di Kampung Sungai Kecil, Kuala Nerang. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Cubaan dua lelaki warga tempatan menyeludup daun ketum gagal apabila mereka berjaya diberkas sepasukan anggota tentera di Kampung Sungai Kecil, Kuala Nerang, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, kedua-dua suspek turut mengalami kecederaan setelah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki untuk mengangkut daun ketum itu terbabas di tepi jalan.

Akibat insiden itu, bungkusan plastik hitam disyaki berisi daun ketum turut bertaburan di bahu jalan setelah kenderaan itu terbabas ke dalam longkang.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Mulkiaman Manzar berkata, ketika kejadian sepasukan tentera yang membuat rondaan bermotosikal di kawasan Durian Burung mengekori pacuan empat roda jenis Toyota Hilux bernombor pendaftaran Thailand yang dalam keadaan mencurigakan.

“Suspek bagaimanapun terus memecut apabila kenderaan itu diarah berhenti sebelum aksi mengejar berlaku.

“Kenderaan tersebut yang menghala ke Kuala Nerang dikatakan cuba menghimpit motosikal anggota tentera berkenaan serta kenderaan orang awam di situ sebelum terbabas ke sebelah kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mulkiaman berkata, salah seorang suspek mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan seorang lagi luka di kepala akibat kemalangan tersebut.

Tambah beliau, kedua-dua suspek dibawa ke Hospital Kuala Nerang untuk mendapatkan rawatan.

“Hasil pemeriksaan yang dibuat oleh tentera di dalam pacuan empat roda tersebut menemukan beberapa lagi bungkusan plastik hitam mengandungi daun disyaki daun ketum. 

“Pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut termasuk mengenal pasti suspek,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya