PETALING JAYA: Berdepan dua kali kegagalan rumah tangga, penyanyi, Cat Farish tidak mahu lagi terburu-buru dalam membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga, terutama apabila memikirkan statusnya sebagai duda anak tiga.
Jelasnya, perkara paling penting dalam menjalin sesebuah hubungan selepas ini adalah penerimaan pasangan terhadap anak-anaknya dan tidak membuat sebarang keputusan ketika sedang emosi.
“Mungkin saya terburu-buru ketika mahu berkahwin (perkahwinan kedua). Kami kenal dalam tempoh singkat dan terus bernikah. Paling penting dalam sesebuah hubungan adalah penerimaan orang luar terhadap anak-anak.
“Saya tidak mahu membuka aib sesiapa. Perkara sudah berlalu dan tidak perlu saya rungkaikan lagi. Bukan nak cakap bekas isteri tidak boleh terima anak-anak saya, tetapi ada masalah yang berlaku.
“Saya anggap tiada jodoh. Perkahwinan ini juga tidak sempurna. Saya tidak menyalahkan sesiapa. Keputusan untuk bercerai adalah persetujuan bersama. Kami tidak dapat kawal masalah yang ada,” jelasnya.
Sebelum ini, Cat menafikan dakwaan kononnya dia telah menceraikan isterinya, Suriani Hassan, 37, dengan talak tiga di Mahkamah Syariah Sendayan, Negeri Sembilan pada 16 Januari lalu.
Sebaliknya kongsi Cat, mereka bercerai talak satu dan dakwaan tersebut tersebar apabila cerita mula bertukar tangan serta ditokok tambah dengan tohmahan lain.
Dalam pada itu, Cat yang juga ahli kumpulan Ruffedge tidak mahu terus-menerus bercerita soal kegagalan rumah tangganya kerana enggan membuka aib atau mengeruhkan lagi keadaan dan masalah.
“Bila mahu berbincang susah sebab emosi mengawal. Nak kaunseling pun payah sebab awal-awal, dia sudah keluar rumah. Tidak boleh berkomunikasi. Daripada bergaduh dan berlawan emosi, saya diamkan diri sahaja.
“Saya tidak mahu cakap banyak. Takut membuka pekung sesiapa. Saya boleh cakap saya salah sebab lelaki yang melafazkan cerai. Biarlah, saya tidak mahu mengiyakan atau menafikan apa-apa,”katanya.