IPOH: Layangan dua kad merah menyentap semangat juang Perak yang tumpas 1-4 kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Perak di sini sebentar tadi.
Tindakan pengadil Zulkarnain Zakaria melayangkan kad kuning kedua kepada pemain Perak, Ahmad Haziq Ahmad Puad dan Sunday Afolabi masing-masing pada minit ke-36 dan ke-78 menyebabkan perlawanan menjadi berat sebelah dan ibarat cencaru makan petang dengan tiga gol buat Kedah.
Begitupun sehingga drama itu, perlawanan seimbang dengan pemain muda tuan rumah berjaya menyaingi pelawat.
Malah anak buah Datuk Lim Teong Kim melakukan kejutan apabila Mohamad Ikwan Hafizo meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit keempat.
Namun anak buah Nafuzi Zain berjaya bangkit dan Lee Tuck berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-21.
Kedua-dua pasukan berbalas serangan selepas itu yang menyaksikan aksi-aksi keras antara pemain.
Perak terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Ahmad Haziq mengutip kad kuning kedua pada minit ke-36.
Begitupun tuan rumah yang mendapat sokongan padu 15,000 penyokong, terus berjuang.
Kedah kemudian mendapat penalti pada minit ke-66 yang disempurnakan oleh Willian Lira Sousa.
Api perjuangan Perak berakhir apabila Sunday dilayangkan kad kuning kedua kerana mengasari Manuel Federico pada minit ke-78.
Segalanya menjadi lebih mudah buat Kedah yang menyaksikan Arif Farhan menjadikan kedudukan rembatan kencang 3-1 melalui rembatan kencang.
Federico kemudian mengukuhkan Kedah dengan jaringan keempat sejurus sebelum wisel penamat. – UTUSAN