PETALING JAYA: Mahkamah Luxembourg mengeluarkan perintah sita baharu kepada dua anak syarikat Petronas susulan tuntutan daripada waris kumpulan Sulu untuk menguatkuasakan anugerah AS$15 bilion (RM66 bilion) yang diperoleh mereka terhadap aset Kerajaan Malaysia.
Memetik laporan Reuters, peguam waris Kumpulan Sulu memohon menguatkuasakan anugerah bernilai AS$14.9 bilion yang diberikan kepada mereka oleh sebuah mahkamah timbang tara Perancis pada tahun lalu.
Timbang tara berkenaan adalah berhubung tuntutan waris kumpulan itu terhadap Malaysia mengenai hak penguasaan kawasan yang dikatakan dimeterai pada zaman kolonial.
Pada 30 Januari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata Mahkamah di Luxembourg memutuskan untuk menarik balik perintah sekatan ‘saisie arrêt’ yang dimohon oleh individu yang mendakwa sebagai waris kumpulan Sulu.
Menurut Azalina dalam kenyataan pada 24 Januari lalu, Mahkamah Daerah Luxembourg mengetepikan perintah sekatan yang dipohon kumpulan itu pada 11 Julai 2022.
Beliau berkata, perintah sekatan itu dibuat berasaskan kononnya Keputusan Muktamad ‘Final Award’ dan keputusan awal yang didakwa dikeluarkan oleh penimbang tara yang dilantik secara tidak sah, Dr Gondoza Stampa, masing-masing pada 28 Februari dan 25 Mei 2022 serta Perintah Exequatur secara ex parte (sebelah pihak) pada 18 Mei 2022 yang mengiktiraf keputusan di Luxembourg.
Stampa dilaporkan memberikan ‘award’ kepada penuntut sebanyak AS$14.92 bilion (RM63.34 bilion).
“Malaysia kini mencabar Perintah Exequatur ex-parte di hadapan Mahkamah Rayuan Luxembourg,” kata Azalina.
Malaysia dengan segera memohon Mahkamah Daerah Luxembourg untuk mendapatkan relif interim untuk melepaskan sekatan itu dan perbicaraan berlangsung pada 5 Disember tahun lalu di Mahkamah Daerah, katanya.
Azalina berkata, Mahkamah Daerah Luxembourg menerima cabaran Malaysia berdasarkan fakta bahawa pihak yang menuntut, menurut mahkamah, secara sukarela tidak mendedahkan alamat sebenar mereka.
“Mahkamah mendapati bahawa tindakan penuntut tidak mendedahkan alamat sebenar mereka adalah sesuatu yang penting yang menghalang penyampaian dokumen dan penguatkuasaan keputusan yang mungkin dikenakan terhadap penuntut,” katanya.
Azalina berkata, menurut mahkamah tindakan penuntut adalah sesuatu ‘kesusahan yang jelas terlarang’ yang menjejas dan merugikan Malaysia.
Beliau menegaskan bahawa kelakuan itu adalah sesuatu perbuatan menipu dan penuntut secara konsisten menggunakan tipu daya dalam membuat tuntutan terhadap Malaysia.
“Tidak menghairankan bahawa kes pihak yang menuntut gagal pada peringkat pertama,” katanya.
Azalina juga menegaskan bahawa kerajaan Malaysia tidak akan berhenti berusaha untuk melindungi dan memelihara kepentingan negara, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia pada setiap masa dan akan terus secara bersungguh-sungguh mengambil semua tindakan yang perlu untuk menamatkan tuntutan palsu penuntut. – UTUSAN