ALOR SETAR: Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan persetujuan untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu penempatan haram melibatkan golongan Melayu Islam Kedah (MIK) di Bukit Malut, Langkawi yang berlarutan sejak sekian lama.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, selaku individu yang terlibat dengan penempatan golongan berkenaan di kawasan tersebut, penglibatan bekas Perdana Menteri itu amat penting terutama dalam menerangkan mengenai aspek sejarah.
Justeru katanya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu segera memainkan peranan mereka dalam memastikan isu tersebut dapat diselesaikan secepat mungkin.
“Dalam pertemuan baru-baru ini, saya minta sokongan beliau terhadap cadangan kerajaan negeri untuk MKN ambil alih sebahagian tanah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Bukit Malut, bagi dijadikan penempatan baharu buat penduduk yang tinggal di penempatan haram. Beliau setuju dengan cadangan itu dan sudi beri kerjasama penuh.
“Beliau antara pencetus yang membawa MIK ke situ dan kalau tak tanya Tun Mahathir, tak ada orang yang boleh cerita sejarah panjang mengenai Bukit Malut. Cumanya untuk ambil alih tanah LKIM itu tak boleh mahal-mahal kerana rumah yang nak dibina mestilah pada kadar berpatutan agar mampu dibeli golongan berkenaan supaya penempatan haram dapat dihapuskan.
“Disebabkan itu projek MKN, maka tidak sepatutnya kerajaan negeri keluarkan duit untuk bina penempatan baharu. MKN perlu mainkan peranan dengan buat pengambilalihan tanah, minta pemaju buat rumah dan golongan MIK ini boleh beli dengan kadar tak terlalu mahal kerana tanah itu sudah jadi milik MKN,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Geran Hak Milik Tanah Bagi Daerah Kota Setar serta Pelancaran ‘Kedah Cashless’ di sini, hari ini.
Berdasarkan gambar dimuat naik Muhammad Sanusi dalam laman Facebooknya, pertemuan beliau bersama Dr. Mahathir berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana pada 13 Februari lalu.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, pertemuan tersebut tidak langsung membincangkan hal politik kerana ianya lebih banyak berkisar mengenai negeri Kedah, tanaman padi, pertanian, industri, sejarah dan Langkawi.
Ditanya sama ada Dr. Mahathir akan bersama Perikatan Nasional (PN) dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak pasti tentang perkara itu.
“Memanglah dalam Facebook saya katakan ada ‘cerita bagus’ dan minta mereka yang mahu dengar ‘cerita’ itu agar menunggu. Tetapi saya bukan maksudkan tentang itu (Mahathir bersama PN dalam PRN),” katanya.
Meskipun tiada perbincangan politik dengan Dr. Mahathir, ujar Muhammad Sanusi, beliau difahamkan anak bekas Perdana Menteri itu, Datuk Seri Mukhriz ada bertemu dengan kepimpinan Pas baru-baru ini.
“Saya tak tanya pun apa intipati pertemuan itu tetapi perjumpaan tersebut melibatkan kepimpinan dalam ‘top 5’ Pas. Di mana mereka berjumpa, itu saya tak pasti tetapi harap-harap positiflah. Tak ada masalah kalau Mukhriz nak masuk Pas, malah jika wartawan nak bersama Pas pun, kami terima,” katanya. –UTUSAN