KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat isu dakwaan pemberian tender oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada menantunya.
Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri berkata, isu tersebut tidak akan tersebar jika tiada kebenarannya, malah ia perlu dijadikan peringatan kepada mana-mana menteri untuk tidak menggunakan kedudukan bagi mengayakan kroni demi kepentingan individu.
“Jahat tidak jahat tunggu laporanlah. Saya tidak fikir hal ini dihebahkan begitu rupa kalau tidak benar, ada kebenarannya. Sejauh mana dia terbabit, saya tidak tahu, itu siasatan perlu dilakukan.
“Tujuan kita nak hentikan, siapa sahaja Perdana Menteri, Menteri Kewangan atau menteri selepas ini, jangan anggap itu tempat untuk dia kayakan anak menantu dia, itu pengajarannya,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sebelum ini menafikan dakwaan terlibat dalam pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada syarikat IRIS Corporation Berhad.
Terdahulu, dalam hantaran di Facebooknya, bekas Perdana Menteri itu menyifatkan tuduhan itu sebagai fitnah jahat yang direka untuk mencalar maruahnya dan keluarga.
Muhyiddin dalam masa yang sama turut mendakwa ia adalah sebahagian siri tohmahan jahat dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional pimpinan Anwar.
“Bagaimana saya yang tidak mempunyai bidang kuasa dalam penganugerahan kontrak dan keluarga saya yang tidak ada sebarang kepentingan dalam syarikat yang dianugerahkan kontrak, ditohmah menyalahgunakan kuasa demi kepentingan diri dan keluarga?
“Tohmahan ini sengaja dibuat untuk menutup kepincangan melampau Perdana Menteri dan anggota kerajaannya melantik anak beranak dalam kerajaan termasuk dengan tanggungjawab dan kuasa untuk mengurus kontrak kerajaan. Amalan nepotisme ini tidak boleh ditutup dengan melemparkan tohmahan tidak berasas kepada orang lain,” jelas Muhyiddin. – UTUSAN