KALAU dikira-kira, sudah tiga minggu pasangan pelakon sama cantik sama padan, Nad Zainal dan Ungku Ismail bergelar suami isteri.
Sejak diijabkabulkan pada 23 Januari lalu, pasangan ini tidak banyak membuka mulut bercerita tentang kebahagiaan mereka.
Cik Bunga intai-intai juga laman sosial mereka. Selain berkaitan kerja, pasangan itu juga banyak merakamkan penghargaan kepada pihak yang memastikan hari bersejarah mereka berjalan lancar.
Sejak dibenarkan keluar selepas sebulan ditahan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Ampang, Cik Bunga tengok kesihatan Nad semakin bertambah baik.
Khabarnya, Nad juga sudah kembali ke lokasi penggambaran untuk telefilem terbitan Zeel Production, Mendarat Di Syurga yang turut dibintangi Syafiq Kyle dan Siti Saleha.
Ketika pasangan itu sedang mengecap bahagia, nampaknya ada pula cakap-cakap belakang mengenai mereka. Bukan mempertikai keputusan drastik mereka untuk bernikah.
Sudah sampai seru dan kedua-dua keluarga juga merestui, jadi apa ditunggu lagi? Cuma yang tidak enak didengar, ada pihak mengungkit mengenai kutipan yang dibuat ketika Nad menerima rawatan disebabkan pendarahan paru-paru sebelum ini.
Setahu Cik Bunga, sudah berbuih mulut Ungku Ismail menjelaskan ke mana wang kutipan itu disalurkan. Jadi, mengapa masih ada yang mempertikai?
Cik Bunga pun hairan, mengapa mereka begitu gigih hadir dengan pelbagai teori hingga majlis pernikahan pasangan itu turut dikaitkan.
Tidak baiklah buat spekulasi bukan-bukan. Lagipun, majlis perkahwinan Nad dan Ungku Ismail tempoh hari biasa-biasa sahaja. Tetapi, bagi mengelakkan salah faham, mungkin Nad dan Ungku Ismail boleh tampil beri penjelasan terperinci ke mana wang tersebut disalurkan.
Rasanya, itu lebih baik bagi mengelak segelintir pihak daripada terus membuat tanggapan tidak molek. Betul tak? Sekurang-kurangnya, tak adalah orang salah anggap dengan Nad dan Ungku Ismail.
Cik Bunga harap mereka tidak berterusan berdiam diri. Masa nikah tempoh hari punya susah nak angkat telefon dan jawab mesej bila ditanya rakan media.