Cukai T20, barangan mewah naikkan 4 peratus hasil negara 

Cukai T20, barangan mewah naikkan 4 peratus hasil negara 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah memperkenal dan menaikkan kadar cukai bagi golongan berpendapatan tinggi (T20) disifatkan mampu menambah kutipan hasil negara sebanyak empat peratus tahun ini berbanding 2022.

Ketua Percukaian Deloitte Malaysia, Sim Kwang Gek berkata, keyakinan itu berdasarkan kepada pengenalan cukai barangan mewah dan program pengakuan secara sukarela dalam Belanjawan 2023 semalam.

“Cadangan menawarkan pengampunan ke atas penalti 100 peratus untuk mereka yang membuat pengakuan sukarela bagi tempoh 23 Jun hingga 31 Mei 2023 hingga 31 Mei 2024, akan meningkatkan lagi kutipan hasil kerajaan.

“Malah, penalti penuh 100 peratus itu jauh lebih menarik berbanding program yang diperkenal oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebelum ini yang mengenakan penalti 10 peratus atau 15 peratus ke atas cukai yang bergantung kepada bila pengakuan itu dibuat,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, katanya, pengenalan cukai keuntungan modal mulai tahun depan juga tidak menggunakan mekanisme secara menyeluruh, sebaliknya hanya membabitkan pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat.

“Ini membuktikan bahawa kerajaan mengambil pendekatan secara berperingkat sebelum melaksanakannya secara menyeluruh,” katanya.

Selain itu, katanya, walaupun hanya sebanyak dua peratus pengurangan cukai pendapatan individu M40 pemastautin dan dijangka menurunkan jumlah kutipan hasil, wang yang dijimatkan akan disalurkan semula ke dalam ekonomi menerusi pertambahan perbelanjaan.

Dalam Belanjawan 2023, kerajaan mencadangkan pengurangan cukai pendapatan sebanyak dua mata peratusan yang melibatkan setiap banjaran pendapatan lebih RM35,000 hingga RM100,000.

Ini melibatkan penjimatan cukai sebanyak RM300 bagi yang berpendapatan RM35,001 hingga RM50,000; RM700 untuk berpendapatan RM50,001 hingga RM70,000 serta RM1,300 bagi berpendapatan antara RM70,001 hingga RM100,000.

Pengurangan cukai korporat sebanyak dua mata peratusan kepada 15 peratus daripada 17 peratus untuk pendapatan bercukai tahunan sehingga RM150,000 dijangka memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya