Cikgu Megat pewaris Awang Batil

Cikgu Megat pewaris Awang Batil

MEGAT Mohd. Noor Megat Teh (kiri) bercerita mengenai Awang Batil kepada sekumpulan kanak-kanak di Balbuk Haus, Chuping, Perlis. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pensyarah Jabatan Sosial Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis, Megat Mohd. Noor Megat Teh, 55, dilihat sebagai individu berpontensi dan sesuai menjadi pewaris Awang Batil seterusnya mempertahan kesenian negeri ini yang berusia ratusan tahun itu.

Pensyarah pendidikan muzik yang lebih mesra disapa Cikgu Megat itu sudah lebih 20 tahun bersama dan mengikuti Romli Mahmud, 69, iaitu Awang Batil yang sebelum ini menzahirkan kebimbangan sekiranya kesenian itu bakal pupus ditelan arus moden selepas dalam kalangan generasi muda kurang berminat mempelajari atau mewarisinya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Megat Mohd. Noor berkata, dia mula bertemu seterusnya belajar kesenian tersebut dengan Romli yang juga gurunya dalam hikayat Awang Batil tersebut sejak tahun 2000 dan sering mengikuti beliau melakukan persembahan.

Katanya, dia berperanan sebagai pengapit kepada Romli selain sering diberi peluang bermain gendang dan menyanyi di dalam persembahan Awang Batil.

Ujarnya, sehingga kini, dia juga sudah menguasai main batil, menyanyi dan gendang selain serba sedikit kemahiran bercerita hikayat berkenaan.

“Guru saya, Romli adalah satu-satunya Awang Batil yang ada bukan sahaja di negara ini malah satu-satunya di dunia. Kesenian tersebut perlu dipertahan dan insya-Allah saya akan berusaha mempertahankannya supaya tidak pupus ditelan zaman,” katanya.

Akhbar ini pernah melaporkan sebagai pewaris terakhir Awang Batil, Romli atau lebih mesra dengan panggilan Bang Li runsing memikirkan masa depan kesenian tersebut jika dia sudah tiada nanti.

Kebimbangan itu sangat dirasai Romli yang pastinya menjadi insan paling terkesan jika tidak menemukan pewaris benar-benar layak menggantikan tempatnya kelak.

Untuk rekod, Romli, yang merupakan generasi kelima Awang Batil menjadi penglipur lara tersebut agak lewat ketika berusia 41 tahun pada 1997, iaitu 23 tahun selepas bapanya, Allahyarham Mahmud Wahid atau Pak Mahmud menamakan dia sebagai pewaris dalam sebuah persembahan di Kuala Lumpur sekitar tahun 1974.

Di usia emasnya, Romli juga telah diiktiraf sebagai ‘Orang Warisan’ oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) selain diisytihar sebagai Tokoh Orang Hidup 2015 oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan pada tahun berkenaan.

Sementara itu, Megat Mohd. Noor berkata, dia menulis antara empat hingga lima kisah untuk persembahan Awang Batil tersebut antaranya seperti Awang Akar Larak dan Awang Kambing Berak Emas.

Dalam pada itu, dia mencadangkan kandungan berkaitan kesenian Awang Batil dimasukkan di dalam silibus Pendidikan Muzik di peringkat sekolah supaya kesenian negeri ini tidak dilupakan dan memberi pengetahuan kepada generasi baharu.

“Di dalam silibus Pendidikan Muzik yang ada sekarang perlu dimasukkan sama Awang Batil. Ketika ini yang ada seperti dikir barat, boria, gamelan, mak yong dan sebagainya. Awang Batil juga adalah kesenian yang perlu diberikan perhatian supaya generasi muda mengetahui dan berminat mengenainya.

“Di peringkat negeri, promosi mengenai kesenian Awang Batil itu perlu diperbanyak. Antaranya, kesenian berkenaan boleh diselitkan di dalam program atau acara-acara di Perlis,” katanya.

Seorang lagi anak didik Awang Batil, Mohd. Hafedz Halim,48, pula berkata, dia pada masa ini berperanan sebagai pengapit Awang Batil.

“Pengapit Awang Batil ini akan ikut apa yang disuruh Awang Batil sama ada bermain gendang, bernyanyi atau sebagainya. Saya lihat Cikgu Megat adalah individu paling sesuai dan layak menjadi pewaris Awang Batil. Insya-Allah Awang Batil ini tidak akan pupus ditelan zaman,” kata pemuzik di Pusat Kebudayaan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya