KANGAR: Seorang buruh maut selepas terkena libasan rantai besi penyangkut mesin padi dalam satu kejadian di Kampung Sungai Padang, Simpang Empat, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 4.33 petang itu, mangsa, Mohamad Sharif Hamdan, 36, disahkan maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah akibat libasan rantai besi penyangkut berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kangar, Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, menerusi siasatan awal, pihaknya mendapati mangsa cuba untuk menarik sebuah mesin pemotong padi yang tersangkut di dalam sawah dengan menggunakan bantuan sebuah lagi mesin pemotong padi lain.
“Sewaktu proses menarik mesin padi itu, salah satu pencangkuk yang diikat pada mesin padi telah patah dan menyebabkan rantai besi terputus lalu mengakibatkan kecederaan kepada mangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Yusharifuddin berkata, mangsa yang berdiri di antara dua mesin padi itu tidak sempat mengelak dan terkena libasan rantai besi berkenaan pada bahagian leher dan pipi kirinya.
Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan parah tidak dapat diselamatkan dan turut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
“Mangsa tidak dapat diselamatkan dan siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung kejadian terbabit,” katanya. –UTUSAN