KEMAMAN : Seorang buruh dikhuatiri lemas ketika cuba menyelamatkan anaknya yang hampir lemas ketika memancing di Lubuk Tapeng, Sungai Kemaman berhampiran Kampung Air Putih, dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 tengah hari, Mohd. Mirwan Mohd. Remli, 40, dari Kampung Batu 9, Ibok, di sini dipercayai hanyut dibawa arus ketika cuba menyelamatkan anaknya, Muhammad Zafran Aidil, 12, yang lemas, namun anaknya terselamat selepas berpaut di dahan pokok.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, ketika kejadian, mangsa bersama isterinya, Hayati Sulaiman, 36, serta dua anaknya keluar memancing dan mandi di sungai tersebut.
“Menurut isteri mangsa, anaknya itu tiba-tiba hanyut dibawa arus di tengah sungai ketika mandi di sungai itu.
“Mangsa cuba berenang menyelamatkan anaknya, namun dia secara tiba-tiba hanyut dibawa arus dan tenggelam, manakala anaknya berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut di dahan pokok berhampiran tebing sungai,” katanya di sini, hari ini.
Hanyan berkata, isterinya yang melihat suaminya tenggelam dan tidak timbul kemudiannya bergegas mendapatkan pertolongan daripada penduduk kampung dan menghubungi pasukan penyelamat.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Hafiezul Mohamad berkata, seramai 17 anggota Balai Bomba Cheneh dan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Balai Bomba dan Chukai bergegas ke lokasi kejadian.
“Operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dilakukan membabitkan kerjasama daripada pihak Polis, Rela dan penduduk kampung yang mana kita gunakan bot dan selaman.
“Radius pencarian petang ini melibatkan kawasan seluas 50 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat,” katanya. – UTUSAN