Bot nelayan tempatan dikendalikan PATI ditahan - Utusan Malaysia

Bot nelayan tempatan dikendalikan PATI ditahan

SEBUAH not nelayan tempatan yang dikendalikan 22 kru warga asing ditahan Maritim Malaysia di perairan Pulau Kendi, Pulau Pinang malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan di perairan Pulau Kendi di sini selepas pemilik bot didapati menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, penahanan itu dibuat Kapal Maritim Malaysia ketika melakukan pemeriksaan terhadap sebuah bot nelayan tempatan kelas C di kedudukan 10.7 kilometer barat daya Pulau Kendi, kira-kira pukul 8.09 malam tadi.

”Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot itu dikendalikan oleh seorang tekong warga Thailand dan 22 kru warga Kemboja berumur antara 21 hingga 46 tahun.

“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, seramai 13 daripada kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan pemilik bot didapati melakukan kesalahan kerana menggajikan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Jelasnya, bot serta kesemua kru ditahan termasuk lima kilogram hasil laut dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Tambah beliau, Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan PATI untuk bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran dibuat sebelum ini.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya