Bot nelayan tempatan dikendalikan 5 kru warga asing ditahan - Utusan Malaysia

Bot nelayan tempatan dikendalikan 5 kru warga asing ditahan

SEBUAH bot nelayan tempatan ditahan Maritim Malaysia di perairan Pulau Pinang semalam kerana dikendalikan kru warga asing tanpa permit yang sah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan kerana didapati dikendalikan lima kru warga asing tanpa permit yang sah semalam.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, penahanan itu dibuat Kapal Maritim Malaysia ketika melakukan pemeriksaan terhadap sebuah bot nelayan tempatan kelas C yang sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dalam rondaan Op Pertiwi dan Op Tanjung, kira-kira pukul 11.45 pagi.

Katanya, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Bagan Hutan Melintang, Perak itu ditahan pada kedudukan sekitar 29.5 kilometer barat daya Pulau Kendi iaitu kurang 27 kilometer dari pantai mengikut syarat sah lesen.

“Pemeriksaan awal mendapati, bot itu dikendalikan oleh seorang tekong warga tempatan dan lima kru warga Myanmar berumur antara 20 hingga 41 tahun.

”Hasil pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, lima kru bot ini gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah serta surat kelulusan bertulis atau permit kerja dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu pemilik bot menggunakan warga asing tanpa kebenaran dan menangkap ikan di kawasan larangan mengikut syarat lessen.

”Bot serta kesemua kru ditahan termasuk 500 kilogram hasil laut sebelum dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

”Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan pendatang tanpa izin (PATI) untuk bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran telah dilakukan sebelum ini,” katanya.

Tambahnya, Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya