Bot nelayan Indonesia ceroboh perairan negara ditahan - Utusan Malaysia

Bot nelayan Indonesia ceroboh perairan negara ditahan

SEBUAH bot yang dikendalikan lima nelayan Indonesia ditahan Maritim Malaysia di perairan Pulau Pinang malam tadi selepas dipercayai menceroboh perairan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan asing yang dikendalikan lima kru dari Indonesia kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia yang sah.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, kapal ronda Maritim Malaysia menahan bot tersebut di kedudukan 69.6 kilometer barat daya Pulau Kendi ketika melaksanakan rondaan kira-kira pukul 9.10 malam tadi.

”Pemeriksaan ke atas bot nelayan asing Indonesia ini mendapati ia dikendalikan oleh lima kru warga Indonesia berumur antara 18 hingga 35 tahun.

”Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

Tambah beliau, bot serta kru ditahan termasuk hasil laut anggaran 20 kilogram dibawa di Jeti Limbungan Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

”Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal dari sebarang pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut di perairan Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya