Bot nelayan Indonesia ceroboh perairan negara ditahan - Utusan Malaysia

Bot nelayan Indonesia ceroboh perairan negara ditahan

SEBUAH bot dari Indonesia yang dikendalikan lima nelayan negara itu ditahan Maritim Malaysia di Pulau Kendi, Pulau Pinang semalam selepas didapati menceroboh perairan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Sebuah bot nelayan Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang pada kedudukan 37 batu nautika barat daya Pulau Kendi, dekat sini pukul 12.46 tengah hari semalam selepas dipercayai menceroboh perairan negara.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot itu ditahan kapal ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan Op Tanjung dan Op Pertiwi.

Jelas beliau, pemeriksaan ke atas bot itu mendapati, bot terbabit berpangkalan di Pangkalan Susu, Indonesia dan dikendalikan lima kru warga Indonesia berumur antara 21 hingga 50 tahun.

“Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia.

“Sehubungan itu, mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, bot serta kesemua kru ditahan termasuk hasil laut dirampas dan dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung dekat sini, untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

Dalam pada itu, tegasnya, Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal dari sebarang pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut di perairan Malaysia.

“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya