Bomba Perak sasar perluas PBS dianggotai Orang Asli - Utusan Malaysia

Bomba Perak sasar perluas PBS dianggotai Orang Asli

AZMI Osman (dua dari kanan) menyerahkan kelengkapan kebombaan kepada anggota PBS Orang Asli Ulu Geruntum di Dewan Orang Ramai Ulu Geruntum, Gopeng hari ini. - UTUSAN/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOPENG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berhasrat memperluaskan khidmat Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di kawasan penempatan Orang Asli di negeri ini.

Pengarahnya, Azmi Osman berkata, langkah yang akan dilaksanakan itu sebagai tindakan awal jika berlaku kes kecemasan di kawasan penempatan golongan tersebut yang kebiasaannya terletak di pedalaman.

Katanya, anggota yang menyertai PBS akan dilatih dengan pengetahuan dan kemahiran asas bagi menangani kes kecemasan.

“Sekiranya ada pasukan bomba sukarela terdekat, secara tidak langsung ia akan membantu operasi mencari dan menyelamat kerana komuniti Orang Asli ini memiliki kemahiran terutama aspek di dalam hutan.

“Apa yang penting, mereka ini juga tahu struktur muka bumi selain memiliki ketahanan fizikal yang akan membantu kita dalam operasi,” katanya pada Majlis Ramah Mesra sempena penubuhan PBS Kampung Orang Asli Ulu Geruntum di Dewan Orang Ramai Ulu Geruntum di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng, Saiful Rizan Sulaiman.

Mengulas lanjut Azmi berkata, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya lima PBS dianggotai masyarakat Orang Asli akan ditubuhkan di Perak pada tahun ini.

Bagaimanapun katanya, kajian akan dilakukan berdasarkan keadaan setempat selain penubuhannya membabitkan kos dan perbelanjaan.

“Kita memang ada sasaran, terutama sekali di RPS Air Banun, Gerik di mana lokasinya di pedalaman dan jauh dari Balai Bomba Gerik.

“Sasaran kita sebenarnya tengok kepada keadaan setempat, kita kena buat kajian. Pada tahun ini kita sasarkan lima ke tujuh (PBS) dahulu, ini kerana untuk tubuhkan pasukan itu kita memerlukan peruntukan bagi membeli peralatan dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, mengulas penubuhan PBS Orang Asli Ulu Geruntum, beliau berkata, inisiatif itu amat dialu-alukan khususnya di kawasan eko-pelancongan di Gopeng di mana terdapat pelbagai kegiatan dijalankan termasuk mendaki dan aktiviti di air.

“Di sini merupakan kawasan tumpuan ramai, sebab itu perlunya penubuhan bomba sukarela yang akan memainkan peranan bukan sahaja memberi nasihat kepada pelancong tetapi mengambil tindakan cepat dan pantas sebelum kita sampai ke tempat kejadian,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya